ALOR SETAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 24 bulan ke atas empat pegawai kastam yang didapati bersalah menerima rasuah RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit pada 2019.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Kamaruzaman Hashim, 43, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 37, Saiful Azhar Ismail, 37, dan Muhamad Izrul Ismail, 32, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Harmi Thamri berkata, hukuman itu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh selain bertujuan memberi pengajaran kepada mereka dan semua anggota kastam serta penjawat awam.
Kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama menerima RM22,000 daripada Md Radzi Puteh yang didapati menyimpan rokok dan mercun yang belum lulus pemeriksaan kastam di Kampung Namek Tua, Sik pada kira-kira 6.30 petang 21 Mei 2019 mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
Kamaruzaman, yang juga tertuduh pertama, turut dijatuhi hukuman penjara 24 bulan kerana menerima rasuah RM3,000 daripada menantu peniaga itu sebagai ganjaran tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap Md Radzi kerana menyimpan rokok dan mercun belum lulus pemeriksaan kastam, pada 6.49 petang hari yang sama.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Kamaruzaman menjalani kedua-dua hukuman secara serentak.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama kononnya setelah berbincang dengan ‘ampoma’ (informer atau pemberi maklumat) bersetuju kadar penyelesaian bagi melepaskan Md Radzi daripada direman dan ditangkap ialah sebanyak RM25,000.
Md Radzi kemudian menyerahkan wang sebanyak RM22,000 yang dimasukkan ke dalam satu plastik biru kepada Kamaruzaman manakala bakinya diberikan oleh menantu lelaki peniaga itu kepada tertuduh pertama melalui transaksi secara dalam talian.
Harmi Thamri bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap kesemua tertuduh sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas membenarkan permohonan peguam Rosman Azwan Osman yang mewakili mereka.
“Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman ini dengan jaminan sedia ada (RM2,000) ditambah (lagi) RM10,000 setiap seorang (tertuduh) dengan seorang penjamin dan kesemua tertuduh perlu melaporkan diri di Jabatan Kastam di alamat terdekat dengan alamat tertuduh dalam minggu pertama setiap bulan,” kata hakim itu.
Rosman Azwan kemudian memohon penangguhan bagi bayaran wang jaminan kepada mahkamah atas alasan urusan pengeluaran tidak dapat dilakukan hari ini kerana bank tidak beroperasi namun ditolak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia Khairul Nizam Abu Bakar. – Bernama