ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjelaskan anggotanya telah menjalankan penugasan rondaan keselamatan pada malam sambutan hari Krismas, Jumaat lalu, yang bertujuan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bukan untuk menghalang orang ramai meraikan sambutan tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, rondaan di lokasi tumpuan orang ramai itu dilakukan dengan bantuan sumber manusia Pasukan Gerakan AM (PGA) dan bukannya bersama pasukan tentera seperti mana yang dipaparkan dalam aplikasi Tik Tok.

“Pasukan pematuhan telah digerakkan ke lokasi tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mencegah apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hari ini polis mengesan rakaman video berdurasi 1 minit 34 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tik Tok bernama @jamalali866 mendakwa polis dan tentera menghalang sambutan Krismas.

Berikutan itu, Noor Dellhan menasihatkan orang ramai terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi Covid-19 yang mana kegagalan mematuhinya boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan yang masih berkuatkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast