Datuk Seri Ahmad Burak (mewakili UPSI menerima sumbangan daripada wakil Mydin USJ.

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan membantu mangsa banjir oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diteruskan dengan sukarelawan bergerak menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terletak di Teluk Intan dan Kuala Selangor.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata,  pihak UPSI mula
menggerakkan ResQ Team sejak tujuh hari lalu bersama sukarelawan membabitkan kakitangan dan pelajar yang bermula dengan kawasan Lembah Klang bersama pelbagai pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, usaha kami ini mendapat perhatian dan sokongan terutama
daripada masyarakat dan warga UPSI terutama pelajar dan kakitangan yang
sentiasa bersiap siaga dalam membantu mangsa banjir kali ini.

Beliau mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan, barangan dan
tenaga manusia dalam kerja-kerja pembersihan yang memberi seribu satu makna
kepada mereka yang terjejas.

Sementara itu menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin kumpulan pertama sukarelawan
kami ke Shah Alam, diikuti dengan Bentong, Jeram, Kuala Slim, Hulu Langat, dan
kini ke Teluk Intan serta Kuala Selangor.

“Kami sentiasa bergerak dengan pasukan ResQ UPSI yang lengkap dengan
pelbagai alat bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan membersihkan rumah
atau mana-mana kawasan terjejas teruk selepas banjir melanda beberapa hari lalu.

Katanya, hasil sumbangan pusat-pusat tanggungjawab UPSI, korporat serta
orang ramai, hari ini, pihak kami dapat menyampaikan 50 pakej sumbangan di PPS
SMART, Kampung Glouster, Changkat Jong, dan Stor Bencana Pusat Pejabat
Kebajikan Hilir Perak, Teluk Intan.

Menurut beliau ResQ Team menerima sumbangan pek makanan bernilai
RM10,000 daripada Mydin USJ hasil usaha Ahli Lembaga Pengarah Universiti,
Datuk Seri Ahmad Burak.

Sejurus menerima sumbangan berkenaan, anggota ResQ Team UPSI terus
bergegas membawa 650 pek barangan sumbangan itu ke Kuala Selangor untuk
diedarkan terus kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, selain alumni UPSI, alumni era Sultan Idris Training College
(SITC)-Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) serta Institut Perguruan Sultan Idris
(IPSI) turut menggerakkan misi dan proses pengumpulan dana sumbangan untuk
disampaikan kepada alumni-alumni yang terjejas teruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast