Bangunan Bank Muamalat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) tidak pernah mengkategorikan cek sebagai halal atau sebaliknya.

Sebagai sebuah institusi perbankan, Bank Muamalat menerima semua cek yang sah yang tertera butiran yang lengkap serta tepat.

”Pihak bank juga ingin menegaskan bahawa laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan Bank Muamalat Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.

”Bank Muamalat telah menghubungi pelanggan kerana ada kesilapan teknikal di mana nama persatuan yang tertera pada cek berkenaan berbeza dengan nama yang didaftarkan. Berikutan itu, pelanggan diminta untuk membuat pembetulan,” jelas bank itu.

Tambahnya, sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pihak bank hanya bertujuan memenuhi prosedur pematuhan perbankan sedia ada, serta bagi tujuan kepentingan para pelanggan bank.

Dalam pada itu, dalam satu sidang media bersama pihak Bank Muamalat dan ADUN Lobak, Chew Seh Yong serta pelanggan terbabit, yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada pagi tadi, kesemua pihak telah mencapai kata sepakat bahawa tiada elemen halal atau sebaliknya berhubung pendepositan cek berkenaan, kecuali isu teknikal dan salah faham terpencil.

Pihak terbabit juga bersetuju bahawa salah faham yang berlaku tiada kaitan dengan isu halal atau sebaliknya dan bersepakat bahawa kenyataan itu tidak tepat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat sentiasa bersedia untuk memberi layanan sebaiknya kepada semua pihak yang berurusan dengan pihak bank, tanpa mengira agama dan bangsa.

“Bank Muamalat komited untuk menyampaikan khidmat pelanggan yang bermutu dan telus untuk memastikan kepuasan semua pelanggan kami.

”Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, operasi Bank Muamalat tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah, namun perkhidmatan perbankan kami diberi kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira fahaman agama mahupun bangsa,” ujar Khairul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast