PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

REMBAU – Dua lelaki maut selepas dilanggar sebuah treler ketika kedua-duanya dipercayai ingin mengisi minyak lori di lorong kecemasan di Kilometer 241.6, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Hazri Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu lori jenis Isuzu, motosikal jenis Honda dan sebuah treler.

Katanya, pemandu lori jenis Isuzu, Saifuddin Abdullah, 50, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal jenis Honda, R. Morgana Krishnan, 49, putus kepalanya akibat rempuhan itu. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak dan dibantu oleh penunggang motosikal yang datang membawa botol minyak.

“Kemudian datang treler dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang merempuh mereka yang berdiri di sebelah kanan lori lalu kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, pemandu lori treler berkenaan telah meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan usaha untuk mengesan pemandu sedang dijalankan selain kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast