IBARAT menangguk di air keruh. Demikianlah situasi yang berlaku di Malaysia pasca musibah banjir baru-baru ini. Mereka telah diuji dengan banjir yang menyebabkan kerugian harta benda, kemudian muncul pula pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan. Keadaan ini dilakukan oleh pihak tertentu yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan pihak lain. Dalam akhbar, dilaporkan bahawa ada sebahagian yang kedainya dipecah masuk seperti Mydin dan KK Mart Sri Muda (Berita Harian, 2021), ada pula yang kereta mereka dicuri oleh pihak towing (Utusan Malaysia, 2021), sementara sebahagian yang lain, rumah mereka dipecah masuk (Astro Awani, 2021).
Persoalannya, apakah kecurian sedemikian dibolehkan atas dasar terdesak untuk meneruskan kehidupan. Dalam hal ini, walaupun kecurian yang dilakukan ketika darurat tidak dikenakan hukuman hudud tetapi disyaratkan bahawa yang dicuri itu hanyalah makanan demi menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan bukan mencuri barangan-barangan lain demi kepentingan peribadi. Premis ini menunjukkan bahawa syarak menjaga kehormatan dan kepentingan hak pengguna-pengguna dalam keadaan darurat dengan syarat-syarat tertentu.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29, “Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.” Dalam satu
riwayat, Nabi SAW bersabda, “tidak halal harta seseorang muslim melainkan dengan
kerelaan dirinya” (Riwayat Ahmad). Berdasarkan, riwayat tersebut dapat difahami bahawa
orang yang berada dalam keadaan darurat yang mengambil makanan atau barangan orang lain tanpa kebenaran pemiliknya hendaklah membayar semula ganti rugi kepada empunya makanan atau barangan setelah digunakan.
Namun, ganti rugi tidak wajib dilakukan sekiranya pemilik asal makanan atau barangan tersebut telah menghalalkannya. Oleh kerana itu, perlu ditegaskan bahawa kecurian yang melibatkan harta benda yang bersifat tidak darurat untuk tujuan kelangsungan kehidupan haram diambil sekalipun berada dalam keadaan musibah seperti banjir ini.
Dalam mendepani musibah yang melanda, tidak dinafikan bahawa kehidupan di dunia ini
dihiasi dengan kesenangan dan kesukaran. Tidak ada orang yang hidupnya senang sepanjang masa begitu juga sebaliknya. Sebagai orang Islam, meskipun menghadapi kesukaran hidup, janganlah berputus asa untuk mencari jalan keluar daripada ujian yang melanda. Pendekatan mencuri bukanlah suatu jalan keluar bahkan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri seandainya empunya barang yang dicuri tidak menghalalkan serta tidak reda dengan perbuatan mencuri tersebut.
Apatah lagi mencuri dengan niat untuk mengaut keuntungan, memperdayakan mangsa-mangsa banjir dan demi loba yang bersarang dalam diri. Dalam hal ini, tidak boleh mendatang kemudaratan kepada orang lain mahupun membalas kemudaratan
yang menimpa dirinya dengan kemudaratan kepada pihak lain dengan mencuri.
Sikap mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah suatu sikap yang terkeji dalam Islam. Bahkan, sikap sedemikian menonjolkan perilaku insan yang tiada nilai kemanusiaan. Sepatutnya dalam saat getir seperti ini, semua masyarakat perlu ikhlas saling membantu antara satu sama lain meringankan bebanan yang ditanggung mangsa yang terlibat. Apatah lagi di saat ini ramai yang terkesan bukan sahaja kerana banjir tetapi sebelum ini pun negara telah diuji dengan wabak Covid-19 yang menyebabkan ramai masyarakat terjejas.
Tentang solidariti masyarakat dalam situasi musibah, terdapat suatu peristiwa dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ditimpa kesedihan atas pemergian ahli keluarga, baginda SAW menyeru para sahabat lain agar menhulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesedihan tersebut. Sabda Nabi SAW mafhumnya, “Masakkanlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana telah datang kepada mereka kesedihan yang menyibukkan mereka (daripada menyiapkan makanan).” (Riwayat al-Tirmidhi)
Justeru, amat penting dalam fasa-fasa bencana ini kita berganding tenaga dan kudrat dalam membantu saudara-saudara kita diluar sana tanpa mengira bangsa dan anutan agama mereka. Allah berfirman dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang berlaku adil.” Islam mengajarkan kepada umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan tidak hanya terbatas kepada sesama muslim sahaja tetapi menaungi semuanya tanpa mengira agama, budaya, kaum dan sebagainya.
Sesungguhnya orang yang melakukan kebaikan disayangi dan disukai oleh Allah SWT dan hidupnya akan sentiasa tenang serta dimudahkan baginya segala urusan.
Sebagai seorang muslim, kita perlu meyakini bahawa setiap kesusahan yang dihadapi pasti disertai dengan kemudahan oleh Allah SWT. Hal ini dinyatakan menerusi firmanNya dalam surah al-Syahr ayat 5 dan 6 yang bermaksud, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Janganlah kerana sikap mazmumah (buruk) yang ditunjukkan oleh sebahagian rakyat pada hari ini menyebabkan \pada masa mendatang masyarakat negara ini dikenali sebagai masyarakat yang tidak beretika dan tidak bermoral sekali gus jauh daripada sifat mulia yang diajarkan oleh Islam.
Oleh: Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya