MARAN – Seorang surirumah, Nor Zarita Yusof meluahkan rasa syukur biarpun kerap menjadi mangsa banjir negeri Pahang sejak tahun 2011.
Katanya, walaupun rumah ditenggelami air hingga paras bumbung namun dia awal-awal lagi sudah siap sedia menyelamatkan barang-barang dan dokumen penting kerana air naik secara berperingkat-peringkat.
”Banyak kali jadi mangsa banjir sejak 2001 tinggal di sini. Untungnya kami kerana semua pihak ambil peduli,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Jengka Batu 13, Maran.
Beliau berkata, sepanjang pengalaman menjadi mangsa banjir, tidak ada istilah rasa tidak puas hati.
“Puas hati, tak ada benda yang tak dapat. Untuk semua mangsa banjir kami sentiasa diberi bantuan, kerajaan negeri sangat prihatin, bantuan yang kami mohon memang dapat.
“Kalau yang protes, mungkin orang tu dari luar,” ujarnya.
Tambah Zarita, dia dan mangsa-mangsa lain dihulurkan sumbangan barang keperluan seperti toto, makanan barang mandian yang diagihkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan agensi yang bantu mangsa banjir.
Menurut beliau lagi, selain sumbangan, mangsa-mangsa banjir sering diziarahi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli Parlimen, menteri besar.
“Malah, Yang di-Pertuan Agong kami pun turut melawat,” ujarnya.
Manakala bagi Noraisya Ali, 25, pula memberitahu, dia mengharungi banjir kedua tahun ini.
Meskipun berdepan dengan cabaran bencana ini namun dia juga tidak merasa terbeban kerana di PPS semua keperluan untuk keluarganya mencukupi, selain banyak bantuan diberikan.
“Saya tak sangka banjir lagi sebab Januari dah naik air. Tapi banjir juga,” katanya.
Noraisya berkata, banjir di rumahnya sudah semakin surut namun masih ada air di keliling kawasan menyebabkan dia dan keluarga perlu berada di PPS buat masa ini.
Katanya, selalunya selepas banjir, penduduk kampung bergotong-royong membantu mencuci rumahnya.
Seperti mangsa-mangsa banjir lain, sudah pasti bencana itu menyebabkan kerosakan pada harta benda.
“Rumah mesti berselut dan lantai pecah. Kalau pakai alas tikar getah pun mesti koyak sebab lantai pecah.
“Kami kini sedang fikirkan kos untuk membaiki lantai dan persediaan jika gelombang kedua pula,” katanya dengan tenang. – MalaysiaGazette