Ratusan kenderaan terkandas ekoran banjir besar disebabkan hujan berterusan di sekitar Batu Tiga Lama ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sekitar Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2021.
BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri di semenanjung Malaysia bermula 18 Disember yang lalu telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Banjir bukanlah asing buat negara ini khususnya apabila Monsun Timur Laut melanda di setiap hujung tahun. Kebiasaannya kawasan yang terlibat pula telah dapat dijangka iaitu di negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu.
Namun bah yang melanda minggu lalu amat-amat menggemparkan negara.
Tiada siapa menjangka kemusnahan dahsyat yang dialami di Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang di Selangor serta Mentakab, Karak dan Bentong di Pahang. Kehadiran bencana yang dilihat sangat pantas itu telah menimbulkan suasana kelam kabut yang luar biasa.
Bukan sahaja rakyat yang menjadi mangsa banjir tidak bersedia, malah yang agak mengejutkan, agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya terlibat secara langsung dalam memberi bantuan dan kerja menyelamat juga dikatakan agak termangu dan lewat bertindak. Kesesakan jalan raya di Lembah Klang umpama mimpi ngeri dan sangat buruk pada 19 dan 20 Disember.
Ribuan pengguna jalan raya yang terperangkap di lebuh raya berbelas jam tanpa sebarang bantuan atau disantuni mana-mana pihak berkuasa. Puluhan ribu mangsa banjir di Selangor dan Pahang juga terbiar lebih 24 jam tanpa menerima sebarang bantuan. Situasi cemas mangsa banjir ini tersebar luas di media sosial yang akhirnya menyaksikan kebanyakan bantuan awal dihulurkan oleh orang perseorangan dan juga NGO (badan bukan kerajaan) dengan pergerakan yang agak terbatas serta tidak tersusun.
Setelah hari kedua bencana melanda barulah terlihat gerakan bantuan dan menyelamat dari agensi-agensi kerajaan digerakkan dengan terancang dan bersepadu. Namun begitu jumlah kematian yang direkodkan sangatlah menyedihkan. Sehingga artikel ini ditulis, 47 kematian telah dicatatkan akibat banjir ini.
Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu untuk menghadapi bencana alam di negara ini. Sikap menuding jari menyalahkan mana-mana pihak tidak akan menyelasaikan masalah khususnya dalam menangani krisis bencana di masa hadapan. Malaysia perlu bersedia berhadapan dengan krisis alam sekitar bukan sahaja bencana banjir.
Perubahan iklim dunia yang melanda pada ketika ini memerlukan semua negara bersedia menghadapi bencana alam yang luar biasa termasuklah yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan baru-baru ini telah mengingatkan bahawa dunia kini berada pada landasan untuk menghadapi lebih banyak fenomena ekstrem dalam masa terdekat.
Selain banjir dan tanah runtuh yang kerap melanda, Malaysia juga harus bersedia dengan pelbagai bencana lain seperti tsunami, kemarau, taufan hatta gempa bumi walaupun kita berada di luar jajaran Lingkaran Api Pasifik. Pengalaman negara-negara maju yang telah terbukti cekap dalam menangani bencana alam seperti Jepun, Taiwan, New Zealand dan negara-negara Eropah perlulah kita giat mempelajarinya.
Teknologi-teknologi terkini seperti penggunaan dron, peninjau robotik, peramalan cuaca, sistem pengesanan bencana dan kaedah pemberitahuan awam perlulah dipertingkatkan.
Pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih pro-aktif dalam menjangka situasi terburuk di tempat masing-masing dengan merangka pelan kecemasan yang bersepadu melibatkan penduduk, agensi kerajaan, sektor swasta serta NGO. PBT yang siap siaga mampu memberikan tindak balas awal yang pantas apabila sesuatu bencana melanda sebelum bantuan dari pihak persekutuan atau agensi lain diterima.
Rancangan pembangunan bandar dan desa wajib mengambil kira kemungkinan berlakunya bencana dengan menyediakan pelan menyelamat yang holistik. Kita tidak dapat menafikan bahawa sebahagian dari bencana alam yang melanda sebelum ini adalah akibat kerakusan menusia dalam mengejar keuntungan duniawi seperti kerakusan penggondolan hutan, penambakkan laut serta pembangunan bandar yang tidak mapan.
Para pemimpin dan pihak berkuasa yang telah diberikan amanah untuk merancang dan menguatkuasa sesuatu peraturan perlulah melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan bertanggungjawab terhadap keselamatan generasi akan datang. Kita tidak mampu lagi berkrompomi dengan sifat tamak kapitalis yang membuat rancangan pembangunan tanpa mengendahkan risiko bencana alam sekitar.
Rakyat juga perlu dididik dan diberikan pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap kesiapsiagaan menghadapi bencana. Sememangnya sifat bencana itu yang datang secara mengejut, maka pengetahuan asas survival sangat mustahak dalam menghadapi situasi genting khususnya di awal tempoh bencana. Bagi negara-negara maju, kunci utama kecekapan mereka dalam menghadapi krisis bencana alam adalah penggunaan teknologi terkini.
Antara yang luas digunakan pada ketika ini adalah teknologi dron di mana keupayaan alat ini amat bermanfaat dalam membuat tinjauan dan pengesanan di kawasan yang terputus hubungan darat. Selain itu mereka juga memanfaatkan teknologi komunikasi dan pengimejan satelit yang mampu menyalurkan maklumat yang sangat penting untuk pemantauan serta menghadapi bencana. Malaysia seharusnya bergerak ke arah ini dengan lebih serius.
Kita juga mempunyai kepakaran yang setanding dengan negara-negara maju namun perlu digembleng kepakaran itu supaya impaknya dapat disalurkan dengan betul. Dalam hal ini penglibatan para saintis dan penyelidik di universiti-universiti tempatan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Di samping itu, persediaan pasca bencana juga perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan. Sudah menjadi lumrah, sesuatu bencana itu akan disusuli pelbagai masalah dan kesulitan sosio-ekonomi yang lain seperti kerosakan harta benda, kemiskinan, tekanan mental, kesihatan dan sebagainya. Pembangunan semula sosio-ekonomi rakyat yang terjejas akibat bencana harus direncana dalam satu rangka gerak kerja yang bersepadu merentasi pelbagai agensi.
Banjir Disember 2021 memberikan hikmah yang besar kepada Malaysia untuk belajar dan memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam menghadapi krisis bencana alam. Kegagalan memberi amaran bencana, kelewatan agensi rasmi dalam bertindak,  kurangnya penggunaan teknologi terkini, kelemahan urusan pengungsian dan pemindahan mangsa serta kelemahan dalam penyelarasan agihan bantuan seharusnya diberi perhatian utama untuk penambahbaikan keseluruhan pelan tindakan negara dalam menghadapi bencana di masa akan datang.
Shafry Salim
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast