Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan bantuan permulaan berjumlah RM1 juta kepada koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, nilai maksimum yang akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak sebanyak RM30,000.

“Bantuan ini tidak terhad untuk premis koperasi yang terjejas banjir sahaja tetapi juga untuk membiayai kerosakan dan kerugian prasarana.

“Ini termasuk di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga membenarkan mana-mana koperasi yang terjejas untuk menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan dokumen-dokumen perakaunan musnah akibat banjir.

“Kemungkinan koperasi juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan ke satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pasca banjir selesai sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, katanya insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus kepada 8 peratus, daripada untung bersih terauditnya selepas pelarasan operasi.

“Ini akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak 7 peratus yang boleh dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas.

“Ini merupakan salah satu inisiatif dan keprihatinan SKM bagi membantu koperasi menangani fasa pemulihan Covid-19 dan kesan bencana banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara.

“Inisiatif ini diberikan kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 sehingga 30 November 2022,” katanya lagi. – MalaysiaGazette