Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media berkenaan dengan laporan terkini Misi Banjir MUDA di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2021.

SUBANG JAYA- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berjaya mengutip derma sebanyak RM2,062,186.98 dalam tempoh seminggu untuk membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pencapaian itu melebihi sasaran awal kutipan parti tersebut iaitu sebanyak RM10,000.

Jelasnya, derma-derma tersebut dibuat oleh 42,209 individu.

“Purata derma seorang RM48. Maksudnya ini bukan datang daripada tauke-tauke besar atau kumpulan penderma berskala besar tetapi majoriti penyumbang adalah rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kutipan itu sehingga kini sebanyak RM789,521.66 yang telah dibelanjakan.

“Bagaimana kita membelanjakan ini, dengan membeli pek makanan berjumlah RM73,795, alatan pembersihan, jaket keselamatan, set tidur, bantuan masjid, dan lain-lain.

“Kalau dilihat di sini majoriti perbelanjaan memang fokus kepada logistik dan bantuan kebajikan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kita juga sedang mendapatkan sebut harga untuk membeli barangan dapur, keperluan rumah, komputer tiba untuk mangsa-mangsa banjir,” tambah beliau.

Selain itu Syed Saddiq berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk memberikan RM300 kepada 300 keluarga yang terjejas akibat banjir, khususnya dalam kalangan B40.

“Kita akan lancarkan bantuan BANGKIT iaitu bantuan kewangan RM300 kepada 300 buah keluarga yang terjejas, kita fokus golongan yang paling terus terkesan khususnya yang datang daripada latar belakang B40, set alat tulis set peralatan sekolah, komputer riba, ini bersasar kepada pelajar.

“Barangan rumah kita akan berikan seperti peti sejuk, mesin basuh, set periuk nasi, cerek dan dapur kepada 50 buah keluarga,” tambahnya.

Tambah beliau, semua perbelanjaan yang digunakan untuk membantu mangsa banjir akan diaudit oleh firma yang bebas.

“Kami perlu lakukan perkara ini kerana kami terhutang budi kepada rakyat Malaysia yang banyak menderma dan untuk memastikan ada ketelusan dan intergriti dalam urusan perbelanjaan derma-derma yang kami kutip.

“Sebaik sahaja kutipan ini ditutup akan ada audit yang telus oleh pihak ketiga. Kita sedang berunding dengan firma-firma audit terkemuka supaya mereka dapat bersama audit segala perbelanjaan yang kita lakukan supaya kita dapat tambah baik proses pengurusan tadbir urus untuk kutipan derma,” kata beliau. – MalaysiaGazette