Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada 2021 World Chinese Economic Forum (WCEF) in Malaysia di Sheraton Petaling Jaya Hotel, Petaling Jaya, Selangor Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Satu kerjasama peringkat antarabangsa perlu dibentuk bagi mengawal inflasi harga makanan global.

Gesaan itu disuarakan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang berkata, dunia sekarang sedang mengalami impak besar akibat Covid-19.

“Banyak nyawa yang terkorban, harga saham menjunam serta gangguan terhadap rantaian bekalan.

“Dunia sedang menderita kesan daripada pasca-pandemik Covid-19  berikutan permintaan semakin lemah dan sumber bekalan yang tidak menentu,” katanya dalam ucaptama Forum Ekonomi China Sedunia 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat di seluruh dunia terkesan dalam aspek pendapatan, wang simpanan dan mata pencarian yang berkurangan ekoran penutupan sempadan selama berbulan-bulan hingga menghalang untuk mencari nafkah.

“Apabila ekonomi dibuka semula, rakyat berhadapan pula dengan isu kenaikan harga makanan yang melonjak secara mendadak.

“Apabila dompet rakyat terkesan, mereka akan merungut, tetapi apabila perut atau keluarga menjadi mangsa, ia adalah soal hidup dan mati.

“Ibarat pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Najib turut menggesa dunia untuk bersama-sama mewujudkan infrastruktur vaksinasi global.

“Ini penting kerana vaksinasi mega adalah satu-satunya cara untuk mengawal pandemik dan mengehadkan kesan kepada ekonomi dunia.

“Kita mesti bangunkan struktur yang pelbagai bagi memastikan perjalanan vaksin dari makmal ke tangan lebih ramai rakyat dapat dilakukan dalam tempoh lebih singkat,” ujarnya.

Najib juga turut menyeru negara-negara di seluruh dunia untuk melabur di Malaysia dan ASEAN sebagai hab serantau.

“Apabila pelaburan berlaku, ia akan membolehkan rantau ini mengeluarkan vaksin secara kendiri agar impak pandemik ini dapat ditangani oleh ASEAN dengan lebih efektif.

“Dunia harus memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas sedia ada seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) agar peluang dalam perjanjian itu boleh digunakan untuk menurunkan tarif dan kos operasi dalam perniagaan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia,” katanya.

Forum Ekonomi China Sedunia 2021 anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) ini merupakan forum tahunan yang menghimpunkan 250 delegasi.

Ia terdiri daripada pemimpin dunia, kapten industri, usahawan baharu dan yang telah bertapak, pemimpin masa hadapan serta golongan belia pemacu perubahan bagi membincangkan isu ekonomi melibatkan kuasa besar global yang semakin memuncak. – MalaysiaGazette