Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan peruntukan lain kepada mangsa-mangsa banjir jika ia tidak membenarkan mereka melakukan pengeluaran dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWPS)

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela rakyat yang terkesan akibat banjir.

“Kalau dikatakan pengeluaran wang KWSP itu tidak perlu, maka peruntukan kerajaan mesti perlu.

“Tidak perlu ambil wang daripada KWSP sebab (rakyat) dalam keadaan susah dan simpanan adalah terbatas.

“Dalam keadaan bencana seperti ini tanggungjawab kerajaan untuk meringankan. Jadi RM1,000 tidak boleh, beri wang itu jaminannya apa?.

“Saya minta Perdana Menteri dengar keluhan di bawah,” kata Anwar pada sidang media selepas melakukan ziarah dan menyerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Ismail Ampangan, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk membenarkan pengeluaran i-Citra.

Justeru itu, Anwar tidak setuju dengan langkah kerajaan membenarkan rakyat yang terkesan akibat banjir untuk membuat pinjaman kewangan peribadi.

Jelasnya, ia akan terus menambahkan beban kepada masyarakat khususnya mangsa-mangsa banjir yang ingin memulakan semula hidupan yang ranap akibat banjir.

“Sekarang kerajaan bagi kemudahan pinjaman tapi kepada orang miskin akan beri kesan yang sangat parah bagi dia.

“Bagi saya kerajaan beri bantuan RM1,000 untuk teruskan kehidupan, kemudian lepas seminggu dua buat perangkaan kerugian rakyat, apa keperluan asas yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

“Tapi bila buat kiraan yang asas seperti yang diperlukan rakyat, antaranya keperluan asas itu boleh ditampung,” ujarnya.

Berikutan itu, Anwar menggesa kerajaan menangguhkan beberapa projek mega dan menumpukan kepada aktiviti membantu rakyat.

“Kalau wang tidak ada, tangguh projek raksasa, ini yang perlu ditangguh bayar (beri bantuan) rakyat dahulu,” gesa Anwar.

Semalam Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 buat kali kedua walaupun terdapat desakan politik selepas rakyat menghadapi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini. – MalaysiaGazette