Amirudin Shari melihat pelan dan gambar jambatan yang runtuh akibat banjir di Pekan Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2021.

DENGKIL – Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan kerja-kerja membaik pulih jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir baru-baru ini boleh disiapkan selewat-lewatnya 20 Januari depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun jambatan itu telah mengalami hakisan dan ditutup kepada semua lalu lintas sejak 17 Disember lalu, pihaknya yakin dapat menyiapkannya mengikut jadual.

“Jambatan Pekan Dengkil berdekatan Taman Permata telah mengalami hakisan dan kejadiannya telah pun bermula sejak 17 Disember lalu, lubangnya besar dan runtuh, kita sedang memperbaiki hakisan tersebut.

Amirudin Shari meninjau jambatan yang runtuh akibat banjir di Pekan Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2021.

“Pejabat Daerah Sepang menjangkakan maksimum atau tarikh paling awal adalah pada 20 Januari 2022. Kita akan lengkapkan dan jambatan ini boleh dibuka kira-kira dua tiga hari selepas dapat taraf selamat

“Mereka ingin mempercepatkan tarikh siap tambak dan perbetulkan hakisan di jambatan ini dengan pasang shift piling dan juga beberapa urusan pencegahan banjir di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Amirudin membuat tinjauan ke rumah penduduk Kampung Cemperai di sini, yang terjejas teruk akibat bencana banjir besar sejak 19 Disember lalu.

Semasa tinjauan itu, Amirudin sempat meninjau jambatan tersebut yang sedang dibaikpulih oleh JKR dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor.

Keadaan jambatan yang runtuh akibat banjir di Pekan Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2021.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan kerja-kerja membaik pulih jabatan itu yang menelan belanja sehingga RM800,000 itu akan melambatkan projek tebatan banjir Sungai Langat yang sudah bermula sejak Julai lalu.

“Kalau kita lihat papan tanda di sebelah mulai Julai 2021 sebenarnya projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Langat ini telah bermula dan ia belum siap lagi sepenuhnya.

“Kalau kita tengok longgokan batu dan pasir di sana adalah sebahagian daripada projek yang telah mula dibuat pada Julai 2021 dan dijangka siap pada 20 Julai 2023.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menangani masalah banjir di daerah Sepang dan kawasan sekitarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette