Kapal kayu yang membawa kira-kira 120 etnik Rohinya yang terkandar di luar perairan Aceh pada 27 Disember 2021. foto Jakarta Psit

BIREUEN – Pihak berkuasa Indonesia akan membantu membaiki bot terkandas yang dipenuhi lebih 100 Rohingya di luar pantainya tetapi tidak akan membenarkan penumpangnya mendapatkan perlindungan di negara itu.

Selesai dibaiki, bot berkenaan akan ditolak keluar dari perairannya.

Bot itu ditemui nelayan pada hari Ahad ketika ia hanyut di luar pantai Bireuen, sebuah daerah di pulau barat Sumatera.

Bot itu membawa kira-kira 120 orang penumpang termasuk kanak-kanak.

“Etnik Rohingya bukan warga Indonesia, kita tidak boleh hanya membawa mereka masuk walaupun sebagai pelarian. Ini selaras dengan dasar kerajaan,” kata Dian Suryansyah, seorang pegawai tentera laut.

Pihak berkuasa akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada bot itu termasuk makanan, ubat dan air, sebelum menolaknya, tambahnya.

Indonesia bukan penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 mengenai Pelarian.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bot itu mengalami kerosakan enjin dan harus dibenarkan mendarat.

“UNHCR bimbang tentang keselamatan dan nyawa pelarian di atas kapal itu,” kata kenyataan itu.

Badruddin Yunus, ketua komuniti nelayan tempatan berkata, pelarian itu telah berada di laut selama 28 hari dan sebahagian daripada mereka telah jatuh sakit dan seorang meninggal dunia.

Pelarian Muslim Rohingya dari Myanmar telah bertahun-tahun belayar ke negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia antara November dan April ketika laut tenang.

Lebih 730,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 selepas tindakan keras tentera termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast