Pasukan boma menyiasat punca kebakaran tongkang di di Pengkalan Weld pagi tadi.

GEORGE TOWN – Jurukimpal yang cedera parah dalam kejadian kebakaran tongkang di Pengkalan Weld di sini,  disahkan meninggal dunia tadi.

Mangsa, Yaser Abdullah, 58, yang menetap di Gat Lebuh Macallum itu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Yaser.

Manakala lima lagi rakan mangsa yang turut cedera akibat kejadian itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HPP.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, hasil siasatan mendapati berlaku letupan sebelum tongkang kosong itu terbakar.

Kata beliau, gegaran letupan itu dapat dirasai sejauh dua kilometer dari tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian kesemua mangsa yang  bekerja sebagai jurukimpal berada di atas dek tongkang itu bagi melakukan kerja-kerja pembaikan sebelum satu daripada ruang pada tongkang berkenaan meletup.

Pihak bomba melakukan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan kawasan berkenaan selamat daripada sebarang letupan serta kebakaran.

“Susulan letupan itu, kesemua enam mangsa terpelanting menyebabkan seorang daripada mereka parah sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN 

Seorang parah, lima cedera tongkang terbakar

Tambah Saadon, pihaknya percaya masih terdapat simpanan atau wap gas dalam ruang berkenaan sekali gus mencetuskan letupan.

“Ini merupakan kejadian kali kedua pada tahun ini selepas Mei lalu, membabitkan kejadian letupan tongkang di kawasan itu.

“Kita sudah berjumpa dengan pihak pengurusan kawasan berkenaan dan menasihati supaya mereka mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan kejadian seumpamanya daripada berulang,” kata beliau. – MalaysiaGazette