Azie Husin rummaging through the trash in search for usable items allegedly disposed by volunteers who helped her clean her house at Batu 19, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021
Azie Husin rummaging through the trash in search for usable items allegedly disposed by volunteers who helped her clean her house at Batu 19, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021. Azie Husin mengorek semula timbunan sampah untuk mencari barangan yang masih elok didakwa dibuang oleh sukarelawan yang membantu membersihkan kawasan rumahnya di Batu 19, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Seorang penduduk di Batu 19 1/2, Sungai Lui di sini meluahkan rasa terkilan apabila terpaksa menyelongkar semula timbunan sampah-sarap di hadapan rumahnya untuk mencari barangan yang masih boleh digunakan.

Menurut Azie Husin, 49, dia menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini untuk mengemas barangan miliknya yang sudah diselaputi lumpur tebal.

Namun tindakan sukarelawan berkenaan yang didakwa membuang barangannya seperti periuk, pinggan mangkuk, pakaian serta peralatan pertukangan bersama longgokan sampah-sampah lain menyebabkan tidak disenangi beliau.

Jelas Azie, dia sememangnya amat memerlukan bantuan tenaga dari luar bagi membantu membersihkan selut dan lumpur di kawasan rumahnya, namun bukanlah sehingga membuang barangan yang masih boleh digunakan.

“Kita memang sangat memerlukan bantuan sebab kita tak mampu nak cuci dan bersihkan sendiri kerana barangan yang perlu dikemas ini adalah barangan yang sudah bertahun-tahun dikumpul akhirnya sekelip mata ditenggelami banjir.

“Barang yang disimpan di dalam rumah ini semuanya kita beli sendiri, bukannya dikutip dari tong sampah atau barang rosak, walau harganya RM1 atau RM100 sekali pun.

“Contohnya jika barang tidak rosak begini (pinggan), kita kena asingkan. Sukarelawan kalau boleh rujuklah pada tuan rumah, tanya dahulu apa yang perlu dibuat dan dibantu kerana ada kalanya pertolongan yang menyenangkan dan sebaliknya,” luahnya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Rumah Azie Husin yang musnah akibat banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu 19 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

Azie menambah, barang-barang seperti pinggan dan periuk belanga yang dikumpul sejak bertahun tidak perlu dibuang kerana boleh dicuci semula.

“Bila mereka sudah balik, saya terpaksa selongkar semula timbunan sampah untuk cari barang-barang yang masih boleh digunakan, basuh semula dan keringkan,” ujarnya.

Wanita ini menitip pesan kepada sukarelawan yang datang membantu supaya bertanya dahulu kepada tuan rumah apa yang patut dibantu, macam mana hendak buat.

”Itu cara membantu supaya dapat menyenangkan individu yang dibantu,” katanya sambil memberitahu dia dan suaminya sudah tidak larat untuk kutip semula barang yang boleh digunakan.

Menurut Azie, dia membeli tanah di kawasan berkenaan sejak lima tahun lalu dan bercadang untuk membuka homestay.

Namun segala impiannya ranap sekelip mata apabila kesemua zink, kayu serta peralatan pertukangan yang dibeli turut dihanyutkan banjir baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast