Gambar hiasan

 

PANDEMIK melumpuhkan banyak sektor dalam negeri sehingga pasaran buruh kini berdepan cabaran untuk terus berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi susulan penularan Covid-19.

 Pelbagai isu sampingan yang berkait rapat dengan pengangguran, pelbagai isu struktur dan cabaran jangka pendek perlu ditangani, termasuk peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.

Isu struktur ini boleh dikaitkan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir. Ini menunjukkan bahawa industri berdepan kekangan untuk menyerap penawaran buruh yang berpendidikan tertiari bagi mendapatkan pekerjaan yang setara dengan latar belakang pendidikan mereka.

 Menurut statistik, pasaran buruh negara mula menunjukkan tren pemulihan dengan kadar pengangguran yang lebih rendah, iaitu 4.3 peratus pada Oktober tahun ini dan bilangan penganggur seramai 705,000 orang.

Walupun statistik menunjukkan angka pengangguran terendah sejak Mac 2020, namun ia masih melebihi kedudukan sebelum pandemik, iaitu sekitar 500,000 penganggur dan kadar pengangguran sekitar 3.3 peratus, kadar ini membimbangkan kerana lebih ramai graduan muda bakal berdepan dengan penganguran. Menurut sebaran Statistik Siswazah 2020, lebih ramai siswazah dalam guna tenaga tidak penuh dan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus pada 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan.

Laporan ini memperihal keseluruhan penawaran buruh siswazah pada 2020 mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi. Siswazah dalam laporan ini ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

Menurut kajian, Institute for Research & Development of Policy (IRDP), universiti dan kolej di Malaysia menghasilkan lebih daripada 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun. Namun, mereka yang memasuki pasaran pekerjaan akan ditawarkan dengan gaji yang sangat rendah.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya mereka tidak akan menganggur. Pada masa yang sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia juga agak tinggi, iaitu pada kadar 10.8% pada tahun 2018. Isu di atas berlaku disebabkan ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran.

Terdapat kekurangan penciptaan pekerjaan, terutamanya pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda ini. Ini telah menyebabkan ramai graduan muda yang menganggur di Malaysia, dan lebih utama mengakibatkan ramai yang bekerja di bawah potensi sebenar.

Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai pekerjaan di bawah kapasiti sebenar (underemployment) di Malaysia.”Peningkatan guna tenaga dalam kategori ini yang mampu dan mahu menerima masa kerja yang lebih banyak juga boleh dikaitkan dengan peralihan kepada situasi pekerjaan fleksibel dari segi masa dan lokasi tempat bekerja.

Antara golongan yang lazimnya berada dalam kategori ini adalah guna tenaga informal dan pekerja ekonomi lejang (gig economy) yang sinonim dengan bentuk pekerjaan tidak berstruktur. Pada tahun 2020, pendapatan purata isi rumah di Malaysia merosot 10.3 peratus berikutan penurunan dalam pendapatan pekerja bergaji dan bekerja sendiri yang menjadi punca utama bagi pendapatan isi rumah keseluruhan.

Campur tangan langsung kerajaan diperlukan untuk mengatasi masalah ini yang akan menjejaskan usaha dalam meningkatkan daya saing ekonomi kita untuk jangka masa panjang. Bagi menangani isu struktural ini, penulis mengesyorkan tiga cadangan dasar iaitu; meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan serta memberi ruang kepada pihak kerajaan bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur. Ini membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang yang mampan dan mempunyai masa hadapan; dan kerjasama sektor awam dan swasta untuk memastikan pekerja dibayar gaji yang setanding dengan kos sara hidup.

Belia khususnya graduan muda, adalah salah satu tulang belakang utama untuk pembangunan negara. Belia dalam usia perdana mereka akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi. Bagaimanapun, tanpa campur tangan yang tepat oleh kerajaan untuk menangani masalah pengangguran belia dan bekerja di bawah kemampuan sebenar, potensi besar generasi muda akan menjadi sia-sia.

Masalah tahap pendapatan yang rendah dalam kalangan belia hanya akan bertambah buruk jika digabungkan dengan isu-isu ekonomi lain yang juga dihadapi warga belia seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kenaikan harga hartanah, peningkatan kos sara hidup, keperluan membeli kereta kerana akses terhad pengangkutan awam dan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak. Adalah selamat untuk mengatakan bahawa salah satu daripada penyelesaian utama untuk menangani peningkatan kos ini adalah dengan meningkatkan tahap pendapatan rakyat, terutamanya warga graduan muda.

Pada masa sama, kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing dalam negara. Memandangkan negara menghadapi pelbagai masalah akibat penularan Covid-19, penting supaya sektor pekerjaan dalam negara termasuk sektor 3D (kotor, susah, dan bahaya) diberikan keutamaan kepada warga tempatan bagi mengelak isu pengangguran membelenggu terutamanya dalam kalangan belia.

Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menangani masalah ini sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar dan tidak dapat dikawal. Pelaburan untuk belia hari ini adalah pelaburan untuk masa depan negara. Sekali lagi Majlis Pekerjaan Negara adalah medan terbaik untuk menangani isu ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast