Ab. Rauf Yusof

MELAKA – Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling di sini akan dinaik taraf membabitkan pelaburan bernilai RM2 bilion menerusi kerjasama syarikat swasta.

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini, kilang pembuatan gelas terbesar di rantau Asia, Xinyi Glass Holdings Limited bersetuju menambah baik pelabuhan berkenaan.

“Berdasarkan perbincangan tadi, pihak Xinyi menyatakan kesanggupan melabur dengan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen operasi di Melaka bagi menambah baik kemudahan (Pelabuhan Tanjung Bruas) sedia ada.

“Dalam masa dua minggu lagi, kita akan mulakan rundingan dengan Pelabuhan Tanjung Bruas bagi mempertingkatkan perkhidmatan bukan sahaja untuk Xinyi, tetapi keseluruhan kawasan perindustrian dpt menggunakan pelabuhan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kilang Xinyi Glass Holdings Limited, di Lipat Kajang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Azmi Hussain dan Pengarah Kewangan Xinyi Glass Holdings Limited dan Xinyi Solar Holdings Limited, Datuk Sin Ket Hin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, setakat ini, beberapa syarikat sudah pun menggunakan pelabuhan berkenaan untuk mengeksport produk ke keluar negara.

“Memang ada banyak syarikat gunakan pelabuhan berkenaan ketika ini tapi skala mereka masih rendah sebab itu kita cuba berbincang agar kapasiti pelabuhan dapat dipertingkatkan.

“Saya akan memanggil semua pihak terlibat untuk bersama-sama berbincang ke arah menaik taraf pelabuhan ini supaya dapat membantu semua kawasan perindustrian mengeksport produk mereka ke luar negara,” katanya.- MalaysiaGazette