The aerial view of the encroached Bukit Cherakah Forest Reserve behind the Taman Bukit Bayu U10 bungalow lots in Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 05 DECEMBER 2021
Kawasan Hutan Bukit Cherakah berhampiran Taman Bukit Bayu U10 di Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 05 DECEMBER 2021

SHAH ALAM – Persatuan Pemilik dan Penduduk Taman Bukit Bayu U10 di sini  kesal apabila kerja-kerja pertanian kebun durian haram yang diteroka di Hutan Simpan Bukit Cherakah masih berjalan seperti biasa.

Pihaknya hairan apabila salah seorang pemilik hartanah di taman itu masih ingkar arahan pihak berkuasa dan didakwa masih mencerobohinya meskipun beberapa notis amaran sudah dikeluarkan sebelum ini.

Walaupun papan notis amaran  telah dipasang pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling Jaya pada 15 Disember lalu namun kerja-kerja pertanian itu masih aktif sehingga hari ini.

“Kerja pertanian (di atas kebun durian haram) masih aktif, kami tak tahu kenapa ia masih tak berhenti. Kalau kita orang memang tak berani ingkar perintah kerajaan,” kata wakil persatuan itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 15 Disember lalu, satu papan notis telah dinaikkan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling Jaya atas tanah yang dijadikan kebun durian haram berkenaan.

Dalam notis itu tertulis ‘Tanah Kerajaan, Penceroboh Akan Didenda Tidak Melebihi RM500,000 atau Penjara Tidak Melebihi 5 Tahun di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965’.

Papan tanda berwarna itu didirikan di atas tanah hutan simpan yang diceroboh sejak tujuh bulan lalu.

Dalam perkembangan sama, pihak persatuan juga mendedahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui emel telah memberi maklum balas terhadap aduan mereka.

Menurut emel berkenaan, Jabatan Perancangan MBSA telah mengeluarkan surat kepada pemilik tanah, Tetuan Usaha Semarak Sdn Bhd untuk mengambil tindakan penyelesaian terhadap aduan tersebut pada 16 Disember 2021.

Zakat LZS

“Jabatan Perancangan juga akan mengeluarkan Notis Borang D (Notis Supaya Memulihkan Semula Tanah dan Bangunan kepada Keadaan Asal Dalam Hal Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang) kepada pemilik premis bernombor 14, Jalan Pulau Kapas U10/86, Bukit Bayu, Seksyen U10, Shah Alam,” katanya.

Selain itu, pihak MBSA juga mengesahkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah memberi maklum balas melalui emel kepada persatuan yang kawasan tersebut berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Tanah yang diceroboh itu di luar kawasan HSK iaitu dengan jarak lebih kurang 24 meter dari sempadan luar kawasan HSK berhampiran,” katanya.

Menurut persatuan itu lagi, pihak MBSA juga mengambil serius tentang aduan pencerobohan tanah tersebut, lebih-lebih lagi melibatkan pembinaan struktur tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Longkang dan pagar telah dibina secara haram tanpa perancangan yang betul. Ini boleh menyebabkan tanah runtuh kerana rumah terletak di pinggir cerun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siapa benarkan kebun durian di Hutan Simpan Bukit Cherakah?