Mohd Syafiq (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil Madrasah Pusat Tahfiz sebanyak RM5,000 pada majlis makan malam tahun di sebuah hotel d ibu negara, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Imbal balik keuntungan dan konsep perkongsian kemakmuran melalui kerja amal dan kebajikan merupakan paksi utama kepada prinsip yang diamalkan oleh syarikat milikan penuh bumiputera, VFive Group.

Penerapan konsep itu boleh dilihat pada majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group, di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur, yang turut mengundang pelbagai pertubuhan dan wakil yang turut menerima sumbangan dan menjadi rutin tahunan syarikat berkenaan.

Ketua Pengarah Eksekutif VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, beliau percaya konsep ‘keberkatan adalah penting dalam setiap apa yang dilakukan’.

Katanya, meskipun sebagai VFive Group merupakan entiti perniagaan dengan objektif keuntungan, namun pihaknya sentiasa meletakkan konsep ‘keberkatan’ dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan dermawan sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan.

“Di antara salah satu daripada 15 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) VFive Group yang disasarkan bagi tahun 2021 adalah memperkasakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu masyarakat dan golongan yang kurang berkemampuan.

“Penanda aras kejayaan VFive Group yang dicapai bagi tahun 2021 adalah dengan penubuhan sebuah organisasi di bawah naungannya, iaitu Yayasan VFive yang bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan.

“Penubuhan Yayasan VFive itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi memantapkan dan menstrukturkan program membantu komuniti sekitar pihak yang terjejas sumber pendapatan susulan pandemik Covid-19 dan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya menerusi kenyataan hari, ini.

Tambahnya, antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berjaya dilaksanakan VFive Group bagi tahun lalu adalah memberi sumbangan bayaran bil elektrik dan bil air kepada masjid sekitar Ampang dan Pandan secara bulanan.

Aktiviti lain yang turut dilakukan adalah sumbangan kepada Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin, sumbangan makanan kepada Hospital Ampang, LRT sekitar Ampang dan Pandan dan Balai Polis sekitar Ampang serta Pandan setiap bulan dan lain-lain lagi.

Mohd Syafiq berkata, pihak VFive Group melalui Yayasan VFive telah merancang pelbagai usaha dan strategi untuk membantu masyarakat sekitar pada tahun depan 2022.

Sebagai sebuah syarikat yang meletakkan kepentingan kebajikan, VFive turut menjalankan pelbagai inisiatif antaranya liputan kesihatan, bantuan persekolahan anak-anak dan bantuan kilat bencana kepada kakitangan VFive, katanya.

Tambahnya, bagi tahun depan, VFive Group meletakkan sasaran bagi program CSR antaranya sasaran perbelanjaan keseluruhan CSR bagi tahun 2022 berjumlah sebanyak RM8 juta, meningkatkan jumlah program kebajikan, mempermudah dan melancarkan agihan perbelanjaan untuk semua masjid, surau dan pusat tahfiz di seluruh Kawasan Ampang dan Pandan.

Perkara lain yang turut dirancang adalah meningkatkan bantuan kepada 2,000 kampit beras sempena program Yayasan VFive Kembara Beras, meningkatkan sumbangan sempena program Gerobok Rezeki kepada 20 lokasi meilbatkan masjid dan surau di seluruh Kawasan Ampang dan Pandan, menambah jumlah sumbangan makanan percuma kepada barisan hadapan pada setiap hari Jumaat dan banyak lagi, tambahnya. – MalaysiaGazette