LANGKAWI – Sebanyak 606 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap 473 penunggang motosikal yang memasuki Langkawi menerusi Jeti Tanjung Lembung, di sini, semalam.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tiga pemeriksaan berasingan dilakukan oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas motosikal yang masuk dari Kuala Perlis.
Jelas beliau, kebanyakan penunggang motosikal itu datang dari Lembah Klang, Johor, Kelantan serta Terengganu.
“Satu pemeriksaan dilakukan pada tengahari manakala dua lagi pada sebelah malam.
“Susulan pemeriksaan itu, sebanyak 606 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan 473 penunggang motosikal.
“Kebanyakan saman dikeluarkan atas kesalahan tiada nombor pendaftaran serta tiada cermin sisi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Shariman, JPJ turut mengeluarkan 104 notis selain menyita sebuah motosikal dalam pemeriksaan tersebut.
“Kesemua mereka telah diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang berada di Langkawi,” kata beliau.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 13 saat di aplikasi TikTok menunjukkan sepasukan polis melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal sebaik tiba di Jeti Tanjung Lembung, Langkawi. – MalaysiaGazette