KUANTAN – Penantian keluarga yang mahu melihad jasad Mohd Firdaus Supiardi, 28, termakbul apabila mayat mangsa yang dikhuatiri lemas di Jambatan Sri Damai, Sungai Belat di sini ditemui malam tadi.
Ayah mangsa, Supriadi Anton, 56, bersyukur kerana pasukan bomba dan polis menemukan mayat anaknya di Sungai Belat setelah 13 hari misi mencari dan menyelamat dilakukan.
“Dapat jumpa tulang pun sudah kira reda dan bersyukur untuk kami sekeluarga mahu melihat dia (Firdaus) kali terakhir.
“Alhamdulillah, jenazah selamat disembahyangkan selepas solat Jumaat tadi dan dihadiri hampir 200 orang dan dikebumikan di tanah Perkuburan Jaya Gading,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pada 18 Disember lalu, Mohd Firdaus dilaporkan dihanyutkan arus deras di Jambatan Sungai Belat di Kampung Sri Damai, Kuantan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penemuan mangsa oleh orang awam yang ternampak mayat terapung daripada Jambatan Sungai Belat pada 7.20 malam.
“Susulan itu, pegawai bomba dan polis bergegas ke lokasi dan membawa naik mayat mangsa dengan mengunakan bot fiber.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, operasi dan menyelamat bermula 18 Disember lalu dihentikan pada 24 Disember setelah seminggu pencarian tidak membuahkan hasil.
Bagaimanapun, operasi berskala kecil dilakukan semula oleh agensi penyelamat bermula 25 Disember lalu dengan kerjasama ahli keluarga dan orang kampung bagi mengesan Firdaus.
Tinjauan MalaysiaGazette semalam yang menyertai aktiviti mencari dan menyelamat sempat meninjau keadaan Sungai Belat yang semakin surut termasuk di lokasi pencarian dalam radius 30 kilometer.
Untuk rekod, sehingga kini, sebanyak 21 kematian dilaporkan sepanjang kejadian musim banjir di negeri ini.- MalaysiaGazette