KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendengar respons rakyat di media sosial berkaitan permohonan i-Citra, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, permohonan i-Citra daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk menyara kehidupan. lebih-lebih lagi yang terkesan selepas bencana banjir.
“Rakyat yang menjadi mangsa banjir, ditimpa bencana tanah runtuh, masih dalam kesempitan kesan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak yang lepas.
“Kita harap masih ada ruang buat kerajaan membenarkan lanjutan skim i-Citra.
“Jangan ditutup sepenuhnya. Dengari rintihan rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, jika Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet perlu meneliti perkara itu dengan mendalam terlebih dahulu.
“Perlu ada political will kerana rakyat yang baru terjejas atau sekian lama terkesan perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka.
“Sebelum ini pun menteri yang sama beri pelbagai alasan, namun terbukti ia boleh dilakukan selepas desakan demi desakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, respons di media sosial mendapati rakyat tidak mahu membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri.
“Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang.
“Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.
“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan meminjam itu dilihat seperti gali lubang tutup lubang.
“Pinjam wang bayar hutang.
“Namun jika itu sahaja pilihan yang ada, maka apakan daya mungkin ramai terpaksa menambah hutang,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, penambahan skim i-Citra ini adalah bagi mengurangkan bebanan hutang.
“Jangan disulitkan keperluan rakyat kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda UMNO menerusi Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga antara pihak yang lantang mahukan i-Citra sebanyak RM10,000 ini diberikan untuk mengurangkan bebanan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media mengumumkan pemberian i-Citra tidak akan berlaku kerana ada mekanisme lain yang disediakan seperti pinjaman kepada beberapa agensi dan juga bank disediakan untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan.
Hari ini, satu kumpulan yang dikenali sebagai Reunion Citra 10K- One Off akan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan KWSP bagi menuntut i-Citra diberikan. -MalaysiaGazette