KUALA LUMPUR – Selepas menerima sambutan hangat pengunjung pada acara di Sunway Pyramid baru-baru ini, PUBG Mobile bakal menghangatkan lagi sambutan tahun baharu kali ini dengan Peraduan 100,000 Mata Wang PUBG (UC) buat kali kedua.
Peraduan 100,000 UC itu diadakan di tiga pusat beli-belah terkemuka iaitu di IOI Puchong, Sunway Velocity dan Sunway Pyramid.
Ia bermula 30 Disember lalu sehingga 1 Januari 2022 dan acara akan berlansung pada pukul 5 petang hingga 10 malam.
“Kali ini, pengunjung ketiga-tiga pusat beli-belah itu bakal merebut peluang memenangi 100,000 UC (mata wang PUBG) hanya dengan bergambar bersama watak-watak popular PUBG Man dan Spiderman,” kata satu kenyataan hari ini.
Caranya cukup mudah iaitu hanya memuat naik gambar tersebut ke laman sosial Instagram atau Facebook dengan menggunakan hashtag rasmi #WinnerWinnerHappyNewYear, #PUBGMOBILE #PUBGMXChristmas, #PUBGMXNewYear atau #PUBGMXSpiderman anda bakal berpeluang memenangi hadiah menarik dan pelbagai barangan kekal di dalam PUBG Mobile.
Buat pengunjung Sunway Pyramid pula berpeluang bertemu dengan pemain PUBG Mobile profesional Malaysia seperti MasterRamen, Intan Serah, Miss Rose, Bravo Gaming dan Pemburu.
Kehadiran pemain profesional PUBG Mobile untuk sambutan tahun baru 2022 diharap dapat memberi inspirasi dan menukar persepsi orang ramai bahawa e-Sukan bukan sesuatu yang remeh sebaliknya, satu kerjaya profesional yang mampu menjana pendapatan lumayan.
Sementara itu, hari ini sangat dinanti-nantikan oleh komuniti PUBG Mobile apabila pendaftaran kelayakan PUBG Mobile Pro League (PMPL) musim kelima akan dibuka tidak lama lagi.
Lebih istimewa buat kali pertama, PMPL yang disertai pelbagai negara seluruh dunia itu akan turut disaingi tiga negara dari Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura dan Filipina.
Bermula 31 Disember sehingga 9 Januari 2022, hanya pemain yang memiliki rank Ace dan ke atas mampu berebut peluang kelayakan dalam PMPL musim ini.- MalaysiaGazette