KUALA LUMPUR – Tular di media sosial memaparkan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang menghidap cerebral palsy dihentak menggunakan objek keras dipercayai batu bata di bahagian kepala.
Video berdurasi 22 saat itu dikongsi menerusi akaun Twitter milik Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Rumah Amal Murni, Kajang dekat sini pada 15 Disember lalu berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup yang dikongsi oleh Ras Adiba.
Ketika kejadian, mangsa sedang disorong menggunakan kerusi roda oleh seorang lelaki dan secara tiba-tiba datang seorang individu yang memegang objek lalu menghentak kepala mangsa sebanyak tiga kali.
Ras Adiba yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dilihat berang dengan insiden berkenaan serta mempersoalkan tindakan si pelaku.
“Kamu ingat kamu siapa? Saya mengenali saudara OKU kita yg Cerebral Palsy ini sejak dia empat tahun.
“Dia tidak boleh pertahankan dirinya dan perlu sokongan utk menjaga dia dan kamu biar beliau dibuli sebegini! Rumah Amal Murni Kajang, kamu dah kenapa! Luluh hati saya,” ciap Ras Adiba di laman Twitternya.
Sementara itu, rata-rata netizen mendesak tindakan lanjut diambil terhadap si pelaku yang dianggap keterlaluan dan tidak bertimbang rasa. – MalaysiaGazette