Tengku Muhaini menyantuni rumah warga tentera yang terkesan akibat banjir.

KUALA LUMPUR – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) mengagihkan barangan keperluan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Sumbangan daripada kerajaan United Arab Emirates (UAE) itu disampaikan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah bersama ahli yang lain.

BAKAT turun padang menjayakan gerak kerja pembungkusan pada 30 dan 31 Disember lalu di Rumah BAKAT ATM di Kem Kementah dan gerak kerja pengagihan dilakukan hari ini.

Sebanyak 2,000 bungkusan kit solat disediakan BAKAT, di samping barangan sumbangan UAE iaitu telekung, al-Quran, hygene set, barang kering dapur, beras dan minyak serta alat cucian sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Hari ini, sebanyak 13 rumah anggota yang terkesan akibat banjir di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat telah dikunjungi BAKAT, sekali gus menyuntik semangat moral mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Menyahut konsep Keluarga Malaysia, BAKAT ATM turut menyampaikan bantuan tersebut kepada beberapa keluarga masyarakat awam yang ditimpa musibah banjir di Hulu Langat, Kampung Bukit Lanchung dan Rantau Panjang, Klang.

“Inisiatif ini antara usaha BAKAT meluaskan peranannya yang bukan sahaja menjaga hal ehwal kebajikan keluarga warga ATM, malah turut menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat awam yang memerlukan bantuan seiring cogan katanya iaitu “Bersama Berbakti”.

“Program bantuan ini akan diteruskan di Temerloh dan Mentakab, Pahang (hari ini) terutama memberi tumpuan kepada anggota di Kem Batu 3, Temerloh yang terjejas terus akibat banjir,” kata kenyataan dari BAKAT ATM.

Khamis lalu, kerajaan UAE menyampaikan bantuan barangan keperluan asasi untuk diagihkan kepada lebih 700 anggota warga tentera yang terkesan banjir.

Simbolik penyampaian sumbangan itu diadakan di Wisma Perwira ATM yang disampaikan melalui dutanya di Malaysia iaitu H.E. Khalid Ghanim Alghaith kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Barangan sumbangan kerajaan UAE meringankan beban mangsa banjir di kalangan warga ATM.

Sumbangan barangan fasa kedua pula berbentuk cadar, tilam, tuala, selimut dan bantal, di samping peti sejuk, dapur masak, kipas, cerek dan periuk nasi elektrik, tong gas, katil single bed dan peralatan mencuci rumah.

Bantuan kerajaan UAE itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

“ATM berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan UAE dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan bencana banjir terutama kepada warga tentera dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette