SHAH ALAM – Parti Berjasa menggerakkan kira-kira 800 ahli dan sukarelawan dalam program gotong royong besar-besaran membantu mangsa banjir di Selangor semalam.
Menurut Naib Presidennya, Abdul Samad Ashaari, tumpuan gerak kerja sukarelawan itu di lokasi paling teruk dilanda banjir iaitu Sepang, Shah Alam, Hulu Langat, Klang dan daerah sekitar.
Katanya, kira-kira 6,000 mangsa banjir telah dibantu melibatkan kerja membersih rumah dari lumpur dan mencuci sampah sarap daripada peralatan yang rosak.
“Walaupun hampir dua minggu berlalu, situasi pasca banjir sebenarnya amat memerlukan banyak tenaga sukarelawan yang boleh membantu membaik pulih keadaan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini.
“Barang-barang dan dokumen penting yang rosak sudah tidak terkira banyaknya, malah tidak kurang juga yang hilang nyawa akibat bencana ini.
“Dilaporkan hampir 33,000 menjadi mangsa banjir di Selangor, manakala jumlah kematian 21 orang,” katanya kepada media pada program gotong royong di Shah Alam.
Menurut Abdul Samad, parti itu turut membuka Bilik Gerakan Banjir di Shah Alam, Sepang dan Kapar bagi memudahkan operasi membantu penduduk yang terlibat dalam bencana banjir yang paling buruk dalam sejarah.
Katanya, sepanjang dua minggu ini, parti itu telah menyediakan lori tangka bagi penduduk yang memerlukan bekalan air dan bot untuk menghantar bantuan segera ke lokasi tertentu.
“Kita juga mengagihkan pek makanan kepada mangsa banjir, membersih rumah, sampah, bantuan keperluan asas, kelengkapan tidur seperti toto dan bantal, kit ibadah, set kanak-kanak, set bayi dan wang tunai.
“Sempena tahun baru hari ini juga, Berjasa menggerakkan dua misi besar-besaran di Shah Alam dan Sepang dengan kerjasama MPKK, ketua kampung dan 300 sukarelawan Wira Watan seluruh negara.
“Dengan usaha ini, kita berharap dapat membantu meringankan beban kerja anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS), di samping memastikan penduduk dapat memulakan kehidupan baharu,” katanya.
Kata Abdul Samad, keadaan pasca banjir lebih perit kerana mangsa tinggal sehelai sepinggang dan memerlukan sokongan motivasi untuk teruskan hidup.
Justeru, katanya, parti Berjasa merayu sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi membolehkan usaha membantu mangsa banjir dapat diteruskan, sekali gus sebagai tanda keprihatinan kepada mereka.
Berjasa, kata beliau, menyasarkan kira-kira RM300,000 untuk bantuan pasca banjir bagi sewaan roro dan backhoe, cucian pakaian dan membaiki kereta mangsa serta sumbangan tilam, katil dan peralatan elektrik.
“Sebenarnya, negara ini perlu diurus oleh mereka yang jujur, amanah, kompeten, sensitif, berjiwa rakyat dan berjiwa besar, malah bencana banjir ini adalah satu ‘teguran’ kepada mereka supaya menunaikan amanah dengan baik.
“Tidak dapat tidak, kerajaan mesti segera menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana banjir dan pandemik Covid-19 yang masih tidak berkesudahan.
“Dalam masa sama, kita berpandangan kerajaan mesti mengeluarkan satu blueprint yang terkandung di dalamnya penyelesaian yang tuntas terhadap masalah banjir,” katanya. – MalaysiaGazette