MUTAKHIR ini, isu buli dalam kalangan pelajar masih berlaku dan menjadi masalah yang membimbangkan pelbagai pihak.
Kehadiran masalah ini membantutkan proses pembelajaran pelajar dan mengundang masalah lain seperti pelajar tercicir dalam pembelajaran.
Keselamatan dan kesejahteraan pelajar merupakan asas kukuh dalam menentukan kecemerlangan. Isu ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak untuk membanteras gejala ini dari berleluasa.
Isu kes membuli perlu ditangani dengan sebaiknya untuk mengelakkan perkara di luar jangkaan berlaku seperti kecederaan, kecacatan kekal, masalah mental dan kematian.
Terkini kes buli melibatkan sekumpulan pelajar lelaki menumbuk mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar menunjukkan kes buli masih gagal dibendung.
Justeru, isu membuli ini perlu diberi perhatian demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Secara umumnya, buli membawa maksud tingkah laku agresif yang berulang bertujuan untuk menyakiti individu lain sama ada dari aspek fizikal, mental atau emosi.
Selain itu, buli merupakan perbuatan mendera dan mempermainkan seseorang menurut Kamus Dewan. Buli merupakan budaya negatif yang mana remaja terpengaruh dan turut serta melakukan perbuatan buruk ini semata-mata untuk memenuhi kepuasan diri untuk dilihat hebat dan berani.
Kebiasaannya, kes buli memaparkan kes penderaan terhadap pelajar yang lebih muda (junior) dan dilakukan oleh pelajar senior (pelajar yang lebih tua).
Hal ini dilakukan untuk menunjukkan kehebatan dan kuasa veto yang ada pada pelajar senior. Kupasan lebih lanjut mengenai isu buli ini dapat dilihat menerusi jenis-jenis buli.
Terdapat empat jenis buli di sekolah, iaitu buli fizikal, buli lisan, buli berkaitan hubungan dan siber buli.
Perkara ini didedahkan oleh kementerian kesihatan Malaysia yang menyatakan buli fizikal menunjukkan si pelaku menumbuk, menendang, mencederakan, menyakiti, mengejek dan menyeksa mangsa buli yang diakhiri dengan penamatan yang menyayat hati seperti kematian dan cedera parah.
Manakala buli lisan berbentuk buli dalam bentuk percakapan yang berunsur mengusik, mengejek, menghina, memaki, memfitnah dan menyebarkan khabar angin buruk terhadap mangsa.
Buli berkaitan hubungan pula boleh berlangsung dalam tempoh lama tanpa pengetahuan umum dan kebiasaannya menunjukkan kes meminggirkan, mengelak dari bercakap dan berkawan dengan mangsa buli.
Selain itu, siber buli dilakukan melalui penggunaan teknologi di media sosial menerusi e-mel, Facebook, Twitter, Instagram, menghantar teks mesej di telefon bimbit yang perbuatannya berbaur untuk mengganggu, menghina, mengugut dan memalukan mangsa.
Oleh itu, para pelajar seharusnya diberi perhatian yang mencukupi untuk mencegah mereka dari terbabas melakukan perbuatan yang tidak wajar.
Kempen pendedahan keburukan buli seharusnya diberikan oleh kerajaan menerusi media sosial dan penguatkuasaan undang-undang jika disabit melakukan kesalahan.
Pihak sekolah juga berperanan penting dalam mewujudkan kelas pemulihan disiplin bagi pelajar yang terlibat melakukan perbuatan buli.
Hal ini kerana, pelbagai kesan buruk dapat dilihat jika isu ini tidak dikawal dengan baik. Antaranya wujud sindrom school phobia, di mana pelajar enggan menghadirkan diri ke sekolah kerana takut dengan ancaman dan perbuatan jahat rakan sekolah.
Justeru, perkara ini perlu dipandang serius dan diberi perhatian penuh untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan dalam kalangan pelajar sentiasa wujud dan terjamin.
Konklusinya, semua pihak perlu bertanggungjawab bersama berganding bahu untuk membanteras isu buli di kalangan pelajar. Peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar untuk tidak melakukan perbuatan buruk ini perlu dipupuk.
Sementelahan itu, semua pihak seharusnya menjalankan peranan masing-masing dengan baik.
Oleh hal yang demikian, perkara ini dapat dibendung dan proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan dan tekanan dari aspek emosi dan fizikal sekaligus mewujudkan kesejahteraan dan kecemerlangan dalam
kalangan pelajar.- MalaysiaGazette
OLEH: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).