Paras air Sungai Pahang masih dalam paras bahaya.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam daerah di Pahang masih dilanda banjir gelombang kedua setakat jam 4 petang ini.

Sebanyak 38 pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan 284 keluarga melibatkan 995 mangsa banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, sejak gelombang kedua banjir dan sehingga hari ini sebanyak 40 PPS dibuka.

Rekod gelombang kedua bermula 31 Disember 2021 sehingga hari ini.

Seramai 307 keluarga melibatkan 1,075 orang ditempatkan di situ.

Dalam pada itu, sekretariat itu memberitahu, tujuh jalan raya di lima daerah di Pahang masih lagi ditutup ekoran banjir.

Di Kuantan laluan yang ditutup ialah Jalan Sungai Lembing dan Jalan Kuantan-Kuala Lumpur (Bukit Gambang Resort).

Di Maran pula, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dan Pekan melibatkan Jalan Kuantan-Segamat.

Di Jerantut membabitkan Jalan Kuala Lipis- Jerantut dan Temerloh di Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok. – MalaysiaGazette