Keadaan kawasan Taman Murni Lanchang yang terjejas teruk akibat banjir kuat yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

REALITINYA rakyat Malaysia baru saja gigih bangkit meneruskan kehidupan setelah Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Baru sahaja menghirup ‘udara kebebasan’ setelah lama terkurung dengan pelbagai SOP (Standard operating procedure) yang ditetapkan, sebilangan rakyat Malaysia diuji dengan musibah banjir di beberapa kawasan selepas hujan yang berterusan melanda.

Kebiasaannya pada penghujung tahun iaitu pada bulan Disember, sering cuaca yang teruk ini melanda di negeri-negeri Pantai Timur, tetapi kali ini di kawasan tengah juga turut mengalaminya.

Apatah lagi keadaan banjir berlaku di Lembah Klang pada 18 dan 19 Disember terutamanya di negeri Selangor itu disifatkan sebagai sesuatu yang di luar jangka dengan kebanyakan kawasan yang dinaiki air menyebabkan jalan utama ditutup.

Pada awalnya, hujan yang berterusan kadangkala lebat selama dua hari di sekitar Lembah Klang itu menyebabkan ramai tidak bersedia hingga terperangkap di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan utama yang dinaiki air.

Tidak terkecuali berlaku kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi iaitu di KM62.9 Lebuh Raya Karak-Bentong; laluan Saujana Utama ke Elmina (berhampiran Lebuhraya Guthrie) jalan menuju Bukit Lanjan, Damansara serta Jalan Taman Melawati 1.

Di beberapa tempat di Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kelantan juga turut mengalami situasi banjir.

MENGEJUT

Namun, sebagaimana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas 18 Disember lalu memaklumkan, kebiasaannya persiapan menghadapi banjir di beberapa negeri antaranya Kelantan, Pahang dan Terengganu dibuat lebih awal, namun keadaan banjir di Selangor seolah-olah ‘mengejut’.

Sepertinya tiada amaran tentang akan berlakunya banjir yang dahsyat seperti itu hingga menenggelamkan banyak kediaman, jalan raya, sekolah, pasar raya dan beberapa tempat lainnya hingga mengorbankan beberapa nyawa.

Maka, ramailah yang terkesan dengan situasi yang berlaku pada hujung tahun 2021 ini.

RAKYAT PRIHATIN 

Dengan berlakunya tragedi yang tidak disangka itu, kita dapat saksikan betapa masih ramai rakyat Malaysia yang sangat prihatin, bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka yang diuji dengan musibah banjir.

Ramai sukarelawan hadir memberikan bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir dari pelbagai pelosok negeri.

Tidak terkecuali, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggerakkan sebanyak lima institusi di bawah naungannya mengaktifkan operasi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas.

Institusi-institusi tersebut ialah Yayasan IKRAM Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Hidayah Centre Foundation (HCF), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) https://ikram.org.my/ops-banjir2021)

WASPADA DAN PEKA

Memandangkan cuaca yang tidak menentu sehingga hujung tahun ini, sekalian rakyat Malaysia disarankan berwaspada dengan sebarang kemungkinan, agar apa yang terjadi baru-baru ini dapat ditangani dengan sebaiknya.

Kenyataan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlaku luruan monsun hingga 3 Januari 2022 dan pada masa yang sama, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari 2022, manakala di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan dan pada 30 Disember 2021 hingga 3 Januari 2022.

Justeru, orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini.

MetMalaysia akan terus memantau keadaan cuaca sepanjang masa dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir apabila keadaan perlu.

Moga dengan berlakunya banjir baru-baru ini, ia akan turut menghilangkan virus Covid-19 yang telah lama ‘mengganggu’ aktiviti kehidupan masyarakat dunia.

Bersama kita doakan.

Atriza Umar
Jabatan Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast