Khairul Faizi Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR – Khidmat Malaysia (KM) Negeri Johor pagi ini, telah membuka bilik gerakan negeri dan bilik operasi kawasan berikutan banjir yang semakin buruk melanda di beberapa kawasan sejak semalam.

Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya sejak semalam menerima laporan keadaan banjir yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Johor.

“Laporan yang telah diberikan oleh Bilik Operasi memaklumkan tiga tempat telah dinaiki air iaitu kawasan Labis, Sekijang dan Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini bertepatan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) yang mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku membabitkan lima kawasan di Johor mulai hari ini.

Menurut MET, antara lima kawasan di Johor dijangka mengalami cuaca itu yang berpotensi menyebabkan banjir melibatkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

Sementara itu Malaysia Gazette melaporkan, jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan daerah Segamat dan Tangkak terus meningkat kepada 1,646 pada jam 8 pagi ini berbanding 1,522 semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan dilaporkan berkata, jumlah itu melibatkan 425 keluarga yang kini ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Mengulas lanjut, Khairul Faizi berkata, di peringkat negeri, KM telah membuka bilik gerakan di Simpang Renggam, dan bilik operasi di kawasan terjejas bagi persediaan membantu mangsa banjir.

Katanya, berdasarkan laporan Bilik Operasi Kawasan, mangsa yang terlibat telah melebihi 1,200 orang, manakala 20 PPS telah dibuka di seluruh Johor.

“Khidmat Malaysia Negeri akan memantau keadaan bencana banjir di Johor dan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan bencana banjir ini,” katanya. – MalaysiaGazette