Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan angka mangsa bencana banjir di Melaka terus meningkat kepada 13,216 mangsa di 186 PPS seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan 13,216 mangsa banjir telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh negeri yang dilanda banjir sehingga jam 12 tengah hari ini.

Jumlah itu membabitkan 3,981 keluarga yang ditempatkan di 186 PPS di Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Johor, Melaka dan Selangor.

Menurut laman Info Bencana JKM, Johor mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir yang ditempatkan di 62 PPS iaitu 3,900 orang daripada 1,009 keluarga.

Ini diikuti Sabah seramai 2,626 mangsa daripada 1,113 keluarga. Mereka ditempatkan di 23 PPS.

Melaka pula mencatatkan 2,540 mangsa daripada 663 keluarga (22 PPS), manakala Negeri Sembilan seramai 2,017 mangsa dari 556 keluarga (22 PPS) dan Pahang seramai 1,956 mangsa daripada 586 keluarga (53 PPS).

Laman Info JKM turut merekodkan Terengganu seramai 137 mangsa daripada 42 keluarga ditempatkan di dua PPS dan Selangor seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga juga ditempatkan di dua PPS. – MalaysiaGazette