KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan aset-asetnya bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, menerusi Ops Murni yang dijalankan di negeri Johor sahaja seramai 184 anggota dan 12 pegawai diletakkan di lapangan untuk melakukan tugasan operasi.
Katanya, sehingga pukul 12 tengahari hari ini sebanyak 31 aset telah diaturgerak ke kawasan-kawasan terlibat termasuklah (7) unit bot, (7) unit enjin bot, (1) unit trak tujuh tan, (14) unit trak tiga tan dan (2) unit trak satu tan.
“Bagi memastikan OPS MURNI Johor berjalan lancar, setakat ini AT mengaturgerak anggota dan aset dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja; Rejimen Ke-33 Rejimen Artileri Diraja; Rejimen Ke-2 Rejimen Artileri Diraja; Rejimen Ke-4 Rejimen Artileri Diraja; Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja; Rejimen 501 Askar Wataniah; serta Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, ATM sentiasa berkomunikasi dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai paras semasa air sungai di seluruh negeri Johor serta ramalan cuaca khususnya
di sebelah Selatan Semenanjung. – MalaysiaGazette