Kes positif harian baharu Covid-19 menurun lagi dengan hari ini sebanyak 2,690 kes dilaporkan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan baharu Covid-19 harian kekal bawah paras 3,000 dengan sebanyak 2,690 kes kes jangkitan virus itu dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman sosialnya berkata, bilangan itu menyumbang kepada sejumlah 2,767,044 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Beliau memaklumkan, sebanyak 19 kematian akibat wabak berkenaan direkodkan semalam dengan lima daripadanya dilaporkan di Selangor.

Laman sesawang CovidNow melaporkan, empat daripada kes kematian dilaporkan setakat tengah malam tadi iaitu membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan (BID).

Laporan itu turut mendedahkan sejumlah 31,532 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 di negara ini, dengan 6,362 pesakit adalah bagi kes BID.

Perincian data dalam laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, kes kematian dilaporkan di Terengganu membabitkan empat mangsa; Johor (tiga); Sabah (dua) dan masing-masing satu kematian di Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 40,606 pesakit, iaitu seramai 33,393 individu atau 82.2 peratus menjalani kuarantin di rumah; sebanyak 3,460 kes menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 3,469 lagi dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 93,017 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 91,436 dos penggalak; sebanyak 737 dos pertama dan seramai 844 individu melengkapkan dua dos pelalian semalam.

Ketika ini, sebanyak 97.7 peratus penduduk dewasa di negara ini melengkapkan pelali, manakala bagi remaja, 87.6 peratus daripada mereka melengkapkan vaksinasi. – MalaysiaGazette