Terdapat satu kes jangkitan baharu Covid-19 melibatkan mangsa banjir dilaporkan hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Terdapat satu kes jangkitan baharu Covid-19 melibatkan mangsa banjir dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan bilangan individu positif wabak tersebut dalam kalangan mangsa banjir adalah sebanyak 461 kes.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kes positif Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih kekal 15 tanpa ada kes baharu direkodkan hari ini.

“Tiada pertambahan kluster baharu melibatkan mangsa banjir dan jumlahnya masih satu setakat ini,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 39 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir.

Katanya, penyakit yang dikesan adalah jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan Acute Gastroenteritis (AGE).

Terdahulu hari ini, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 2,690 kes baharu Covid-19 berbanding 3,535 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan keseluruhan 2,695,751 daripada 2,767,044 pesakit Covid-19 sudah sembuh setakat ini.

Tambahnya, seramai 265 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 188 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 77 lagi disyaki dijangkiti virus itu.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 147 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dengan 81 pesakit positif Covid-19 dan selebihnya 66 kes masih dalam siasatan.

Jelasnya, terdapat 300 kes import dan baki 2,390 kes jangkitan tempatan yang membabitkan 2,317 warganegara serta 73 warga asing.

Daripada jumlah kes baharu itu, hanya 1.9 peratus terdiri dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara pula direkodkan pada kadar 0.99, dengan Johor mencatatkan kadar R-Naught tertinggi 1.01, diikuti Kelantan (1.00).

Katanya, KKM turut mengesan tiga lagi kluster hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast