Empat sungai di Pahang lepasi paras bahaya.

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Pahang yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam kenyataan kepada media berkata, seramai 1,515 penduduk di beberapa daerah di negeri itu telah dipindahkan ke 47 PPS, berbanding 1,421 mangsa semalam.

Ini berikutan hujan lebat yang berterusan sejak semalam, menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dalam kejadian banjir gelombang kedua sejak Jumaat lalu.

Menurut Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman, mereka adalah daripada 428 keluarga yang dipindahkan.

Katanya, Kuala Lipis mencatatkan daerah tertinggi penduduk dipindahkan iaitu 553 orang daripada 155 keluarga.

“Mereka kini ditempatkan di 16 PPS, manakala daerah Rompin 382 orang daripada 109 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS dan Raub pula seramai 278 mangsa daripada 84 keluarga di 12 PPS.

“Di Jerantut, seramai 176 mangsa daripada 45 keluarga dan Maran 69 mangsa daripada 18 keluarga.

“Di Kuantan, kekal 42 mangsa daripada 13 keluarga dan satu PPS dibuka semula di Bera untuk menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga,” katanya.

Empat lagi daerah yang turut dilanda banjir iaitu Temerloh, Pekan dan Bentong tiada perpindahan penduduk dilaporkan setakat ini dan keadaan masih terkawal.

Menurut Che Adam, lapan jalan menghubungkan Kuantan, Maran, Pekan, Raub, Jerantut, Temerloh dan Lipis masih ditutup.

Laluan yang ditutup ialah ialah Jalan Sungai Lembing di Kuantan; Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Maran; Jalan Kuantan-Segamat di Pekan; dan Jalan Ulu Dong di Raub.

Penutupan jalan di Jerantut melibatkan Jalan Kuala Lipis – Jerantut; di Temerloh Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok serta di Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang. – MalaysiaGazette