Julia Goh

KUALA LUMPUR – UOB Malaysia mengunjurkan kelulusan pelaburan di negara ini sebanyak RM200 bilion pada tahun ini.

Malaysia merekodkan kenaikan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak 51.5% tahun ke tahun kepada RM177.8 bilion dalam tempoh Januari-September 2021 berbanding RM117.4 bilion pada Januari-September 2020.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata, sektor pembuatan menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah pelaburan berjumlah RM103.9 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak RM57.8 bilion dan sektor utama RM16.1 bilion.

Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang hampir 60% daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan atau RM106.1 bilion, dengan pelaburan utama dari Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda.

Pembuatan menguasai kelulusan dalam FDI manakala sektor perkhidmatan dan utama dalam pelaburan domestik.

“Dengan jumlah kelulusan pelaburan tahun setakat ini mencecah 96% daripada sasaran tahun penuh awal kami sebanyak RM185 bilion dan menggabungkan pengumuman baru-baru ini bernilai lebih RM30 bilionn pelaburan oleh gergasi cip Amerika Syarikat, kami meningkatkan sasaran tahun penuh 2021 kepada RM215 bilion berbanding RM167.4 bilion pada tahun 2020,” kata Goh dalam nota penyelidikannya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan monetari global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang berlarutan akibat wabak Covid-19 akan terus menerusi memberi cabaran kepada aliran FDI di pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia tahun depan. – MalaysiaGazette