CAPE TOWN – Seorang lelaki ditahan dipercayai menyebabkan kebakaran besar di bangunan Parlimen di bandar ini.
Jurucakap polis berkata, lelaki itu bakal menghadapi tuduhan membakar, memecah masuk dan mencuri dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.
Anggota bomba bertungkus-lumus selama berjam-jam untuk memadamkan kebakaran itu.
Presiden Cyril Ramaphosa menyifatkan kebakaran itu sebagai “peristiwa yang teruk dan dahsyat”.
Rakaman dari tempat kejadian pada Ahad menunjukkan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara, dengan api besar keluar dari bumbung bangunan.
Kebakaran bermula di pejabat tingkat tiga dan cepat merebak ke dewan Dewan Rakyat, lapor BBC.
Pada masa ini Parlimen tidak bersidang dan tiada kecederaan dilaporkan.
Brigadier Nomthandazo Mbambo berkata, suspek juga dijangka didakwa di bawah Akta Utama Negara, yang melindungi tapak berkepentingan strategik.
Namun perkara itu tidak diperincikan.
Dalam satu kenyataan pada malam Ahad, Parlimen Afrika Selatan mengesahkan terdapat ‘kerosakan ketara’ pada sayap bangunan Dewan Rakyat termasuk Dewan Majlis yang menjadi tempat penggubal undang-undang bersidang.
Malah, beberapa pejabat juga musnah.
Kebakaran, yang bermula jam 6 pagi waktu tempatan (04:00 GMT), berlaku sehari selepas acara pengebumian pejuang anti-apartheid, Desmond Tutu di Katedral St George, berhampiran Parlimen. – BBC