Lelaki yang diculik sindiket pemerdagangan kanak-kanak 33 tahun lalu dan dijual kepada keluarga lain, akhirnya pulang ke pangkuan ibu tersayangnya di China.- Gambar Metro.co.uk

LONDON – Seorang lelaki yang telah diseludup pada 33 tahun lalu semasa berusia empat tahun akhirnya kembali bersatu ke pangkuan ibunya baru-baru ini.

Mangsa yang kini berusia 37 tahun kembali bertemu ibu kandungnya selepas melukis peta kampungnya semasa zaman kanak-kanak yang masih diingatinya.

Li Jingwei sebelum itu telah dijual kepada keluarga lain oleh kumpulan pemerdagangan kanak-kanak

Rakaman video saat kepulangan Jingwei kepada ibunya itu sangat menyentuh hati dan menunjukkan ibunya tidak percaya anaknya yang dilarikan semasa kecil kini berdiri di depannya.

“Saya gembira akhirnya kembali disatukan dengan ‘bayi kecil’ saya yang sangat dirindui lebih 30 tahun lalu,” ujar ibunya.

Li berkongsi video peta lukisan tangannya ke laman sosial Douyin pada 24 Disember lalu selepas menemui pangkalan data DNA dan ibu bapa angkatnya tidak dapat membantunya.

Lakaran kampung asalnya yang dilukis mangsa culik pemerdagangan kanak-kanak sebelum berjaya mengesan dan bersatu dengan emak kandungnya selepas 33 tahun di China.metro.co.uk

Lakaran tangan Li mengandungi perincian yang mengagumkan termasuk gambaran rumah tertentu dan cara penduduk tempatan menggunakan baldi kayu besar untuk memasak nasi.

“Saya merupakan seorang kanak-kanak yang mencari rumah kampung asalnya. Saya dibawa ke Henan oleh jiran berkepala botak sekitar tahun 1989 yang mana ketika itu saya hanya berumur empat tahun,” tulisnya.

Polis kemudian memadankan peta itu dengan kawasan berhampiran bandar barat daya Zhaotong di Wilayah Yunnan, lapor the Paper di China.

Selepas dilibatkan dalam ujian DNA, Li akhirnya ditemukan dengan ibunya pada Sabtu tetapi malangnya dia tidak dapat bersatu engan bapanya yang sudah lama meninggal dunia.

Li sebenarnya telah diculik sebelum dijual kepada sebuah keluarga yang tidak mempunyai zuriat yang tinggal lebih 1,100 batu (1,770.3 kilometer) dari perkampungan asalnya.

Namun ibunya tanpa pengetahuan telah berhijrah ke sebuah kawasan yang hanya terletak kira-kira 60 batu daripada Li.

Data menunjukkan sejak 2015 kira-kira 20,000 kanak-kanak diculik dan dijual di China setiap tahun kepada keluarga yang menagih anak lelaki.

Li yang kini sudah berkeluarga dan memiliki anak berkata, keluarga angkatnya telah mengajar dia tentang prinsip menjadi seorang manusia mulia supaya dapat belajar dengan rajin dan menjadi insan berguna.

Namun ekoran kepulangan Li, masih belum dapat dipastikan sama ada polis melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.- Metro.co.uk.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast