Pihak berkuasa tempatan melakukan kerja-kerja pembersihan sampah kesan daripada banjir yang berlaku ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Kampung Tengah Puchong, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 juanuari 2022.

PUCHONG – Kerja-kerja pembersihan longgokan sisa sampah banjir yang ‘menggunung’ di sebuah laluan di Kampung Tengah, di sini, sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati, beberapa buah jentolak sibuk menolak sisa sampah yang berada di bahu jalan untuk dimuatkan ke dalam lori sebelum di bawa ke pusat pelupusan.

Sebelum ini, jalan tersebut dipercayai sukar untuk dilalui oleh kenderaan berikutan terlampau banyak sampah yang dilonggokkan di bahu jalan sebelah kiri sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

Orang awam melalui kawasan yang dipenuhi longgokan sampah selepas bencana banjir yang berlaku ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Kampung Tengah Puchong, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 JANUARI 2022.

Turut difahamkan, sampah-sarap seperti tilam dan perabot yang rosak itu dilonggok sepanjang laluan berkenaan sehingga ke sebuah kandang lembu di hujung jalan.

Seorang pesara, Azali Abdul Rashid, 58, mengakui pada mulanya dia merasa terganggu dengan longgokan sampah-sarap yang ‘menggunung’ itu kerana rumahnya berada terlalu hampir dengan lokasi.

Menurut Azali, sampah akibat kesan banjir itu sebenarnya dialihkan daripada hadapan rumah penduduk ke laluan tersebut bagi memudahkan kerja-kerja mengangkut keluar menggunakan lori.

Azali Abdul Rashid. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 juanuari 2022.

“Mula-mula memang rasa terganggu kerana banyak sangat lori sampah keluar dan masuk, bau (busuk) pula jangan cakap lah sebab jalan pun hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan kerana sebelah lagi terhalang dengan sampah.

“Kita faham kekangan yang mereka hadapi kerana memang jalan kecil, tapi (PBT) laju juga mereka buat kerja (pembersihan) kerana sudah banyak yang diangkut keluar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Tengah B di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azali berharap, pihak berkaitan terutamanya PBT dapat menyelesaikan proses pembersihan laluan berkenaan secepat mungkin bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

“Kena selesai cepat lah takut banjir berulang lagi dan sampah yang bertimbun ini masuk ke kampung pula,” ujarnya yang baru menetap di situ pada 2019.

Sementara itu, menurut seorang peniaga, Mohd Nasir Ariffin, 52, dia merasa kurang selesa dengan longgokan sisa sampah banjir yang berada terlalu hampir dengan gerai jualannya.

Mohd Nasir Ariffin. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 juanuari 2022.

“Pada mulanya bila tengok memang tak senang hati sebab sampah banyak dan kita pula berniaga makanan.

“Sebab itu semasa mengemas gerai selepas pasca banjir, saya terus letakkan setempat sampah-sarap yang dikutip bagi memudahkan kerja mereka (PBT).

“Tapi kita faham, kawasan ini luas dan sampah pun banyak mungkin ia akan ambil masa,” ujarnya.

Antara sisa sampah banjir di Kampung Tengah Puchong, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 juanuari 2022.

Lewat petang semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di laman Twitternya memaklumkan sampah di laluan berkenaan dibersihkan hampir setiap hari.

“Tempat tersebut hampir setiap hari dibersihkan namun ada pihak yang buang balik di kawasan tersebut, hari ini (semalam) kita bersihkan semula, esok (hari ini) kita akan tutup untuk elak mereka buang di tempat tersebut,” katanya.

Amirudin turut menyertakan dua keping gambar laluan yang sudah dibersihkan bagi membalas ciapan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta supaya kerajaan pusat dan negeri memberi keutamaan untuk membersihkan segera longgokan sampah akibat banjir di kawasan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast