Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) akan membuka tabung mengutip derma orang ramai dalam usaha membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam perjuangannya mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, dengan adanya sumbangan daripada orang ramai dapat meringankan sedikit bebanan ditanggung NGO yang sebelum ini menggunakan wang poket untuk urusan operasi.

“Ramai bertanyakan, apakah Pembela akan membuka tabung bagi masyarakat umum menyumbang kepada perjuangan kami mencabar keabsahan sekolah vernakular ini.

“Memandangkan kes ini berlanjutan lebih lama lagi, dengan proses rayuan dan mungkin ke mahkamah yang lebih tinggi, saya dan sahabat seperjuangan merasakan perlu kita buka ruang itu (tabung).

“Sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak membantu menampung kos mahkamah, dokumentasi dan juga sebagai token kepada peguam yang bertungkus lumus berjuang dalam kes ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Aminuddin berkata, kes rasuah politikus pada kebiasaannya membuka tabung yang mencecah jutaan ringgit termasuk kes menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini pun mendapat sambutan luar biasa.

Maka, katanya, tidak sepatutnya ada masalah untuk Pembela membuka tabung khusus untuk usaha murni ke arah sekolah satu aliran kebangsaan demi perpaduan rakyat di negara ini.

Jelas beliau, sempena 30 hari tempoh rayuan yang dibenarkan mahkamah bagi kes itu dan sempena tahun baharu 2022, pihaknya melihat tabung itu sebagai kayu ukur dokongan rakyat terhadap perjuangan ini.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan serendah RM20 melalui pautan bit.ly/DanaCabarVernakular

“Atau ke nombor akaun Bank Islam Pembela Management iaitu 12113010073054 bagi transaksi bawah RM20.

“Walau berapa jumlah yang dikumpul nanti, kami tetap reda kerana memang selama ini pun kita berjuang dari poket kami sendiri kerana kita yakin ini adalah perjuangan kebenaran demi agama, bangsa dan tanah air.

Dalam kes itu, pihak plaintif ialah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).

Mereka menentang defendan iaitu Menteri Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, parti MCA, parti MIC, parti Gerakan, Dong Zong, Hua Zong dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur.

Selain itu Persatuan Thamizhar, Persatuan Tamilar Thirunal, Persatuan Gabungan Kebajikan Guru Bersara Sekolah Tamil dan Majlis Bahasa Cina Malaysia adalah defendan.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman yang dikemukakan GPMS, MAPPIM dan GAPENA.

Dalam penghakimananya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast