SEGAMAT – Berpantang maut sebelum ajal.

Begitulah detik-detik cemas yang dialami oleh seorang lelaki yang nyaris dihanyutkan air deras di Bukit Sengit Pogoh di sini kira-kira 7.58 minit pagi tadi.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Nor Ibrahim Ariffin, 37 tahun, sedang menunggang motosikal Yamaha RXZ dan cuba merentas jalan yang dinaiki air dengan arus deras.

Dalam situasi getir itu, mangsa sempat berpaut pada sebatang pokok sebelum dia diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat Segamat dan orang ramai.

Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat daerah Segamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penguasa Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd Rahman berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian apabila dimaklumkan kejadian itu.

”Pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan tali penyelamat dan membawa mangsa ke kawasan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette