Kontraktor bebas (IC) Lazada Hub berkumpul hadapan ibu pejabat platform eDagang berkenaan bagi menyatakan bantahan terhadap skim pembayaran gaji baharu yang didakwa tidak munasabah di LEL Express, Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2022.

SUBANG – Kira-kira 50 kontraktor bebas (IC) penghantar barangan Lazada hari ini berkumpul membuat bantahan kerana berpendapat skim pembayaran baharu yang dilaksanakan dianggap tidak munasabah.

Kesemua mereka ini merupakan penghantar barangan menggunakan van-van yang disewa sendiri.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Mohd Ashraf Abdullah berkata, skim baharu yang bermula Sabtu lalu memansuhkan pembayaran asas sebanyak RM180 bagi setiap 40 barang yang dihantar setiap hari.

Jelas beliau, yang tinggal hanyalah komisyen mengikut penghantaran setiap barang iaitu RM1.11 bagi setiap bungkusan.

Basic kami ditarik balik. Kami disuruh bekerja hantar barang dengan hanya makan komisyen, mereka janji kalau penghantaran barang semakin banyak gaji semakin bertambah. Kalau mereka suruh kita terima 200 parcel sehari kita bukan robot hari-hari begitu. Hujan kami redah. Memang tidak adil langsung bagi kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jurucakap kontraktor bebas Lazada hub, Mohd Ashraf Abdullah bercakap kepada media semasa berkumpul hadapan ibu pejabat platform eDagang berkenaan bagi menyatakan bantahan terhadap skim pembayaran gaji baharu yang didakwa tidak munasabah di LEL Express, Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2022.

Jumlah pembayaran itu, kata beliau, jelas menindas para  kontraktor bebas yang menanggung sendiri kos sewa, penyelenggaran van dan petrol setiap hari.

“Satu parcel pun diturunkan daripada RM1.50 kepada RM1.11. Van kami sendiri yang sewa, bayar sendiri, minyak kami sendiri tanggung. Kami pun nak makan juga,” katanya.

Malah kata beliau, notis pemberitahuan pelaksanaan skim pembayaran baharu ini dimaklumkan secara tergesa-gesa iaitu pada 31 Disember 2021, tanpa memberi kontraktor bebas masa.

“Beri kami notis awal supaya kami boleh cari kerja lain,” tambah beliau.

Suruh kami tandatangan surat persetujuan skim baharu tapi kami yang tidak puas hati, ini tidak tanda tangan sampai sekarang .

Justeru kehadiran mereka pada hari ini di LELExpress untuk menggesa pihak pengurusan syarikat platform e-dagang berkenaan untuk menarik balik semula pelaksanaan skim baharu tersebut. – MalaysiaGazette