KUALA LUMPUR – Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dituduh melakukan pecah amanah bernilai AS$6.94 juta bakal berhadapan dengan 110 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memperincikan sebab-sebab pasukannya memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin diberikan kepada tertuduh, Shahrum Nizam Baharuddin, 40 tahun.

Menurut Shaharuddin, pihak pendakwaan akan memfailkan pertuduhan di bawah AMLA pada minggu ini.

Terdahulu, Shahrum Nizam mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan pecah amanah wang bernilai AS$6.94 juta.

Sekiranya disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak kurang daripada dua tahun, tidak melebihi 20 tahun selain sebatan dan denda. – MalaysiaGazette