Foto hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Memuat turun aplikasi dalam talian bagi tujuan mendapatkan diskaun menjadi punca berlakunya kecurian dalam akaun bank tanpa pengetahuan pemiliknya.

Pengasas syarikat perkhidmatan keselamatan siber LGMS, Fong Choong Fook berkata, mangsa selalunya terpedaya dengan tawaran diskaun sehingga memuat turun aplikasi daripada platform yang mencurigakan dan bukannya daripada platform konvensional seperti Google Play Store.

Beliau berkata, kebelakangan ini telah berlaku penipuan membabitkan penawaran pembantu rumah secara dalam talian dan mangsa telah memasuki laman “memancing maklumat” sehingga kerugian RM10,000.

LGMS yang dilantik oleh pihak bank untuk menyiasat kes berkenaan telah mengesan lebih  banyak kes membabitkan pencerobohan menggunakan kata laluan pemilik akaun.

Kata Choong Fook kepada Sinchew Daily, penipu akan menggunakan media sosial untuk menjanjikan pelbagai diskaun kepada pengguna yang memuat turun aplikasi tertentu.

“Aplikasi berkenaan sebenarnya mempunyai virus Trojan yang boleh mencuri maklumat seperti kata laluan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari bank.

“Mangsa akan dibawa ke sebuah laman palsu dan ketika mereka memasukkan kata laluan, maklumat itu akan dihantar ke pelayan (server) di Amerika Syarikat.

“Maklumat dan kata laluan mangsa juga segera digunakan untuk memasuki laman web perbankan yang sebenar untuk memindahkan duit mereka kepada penjenayah,” katanya kepada Sinchew Daily.

Jelasnya, ramai mangsa tidak menyedari mereka telah “memberi kuasa” kepada aplikasi untuk membaca maklumat SMS dan juga kata laluan sekali guna (OTP) apabila mereka memuat turun aplikasi berkenaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya hanya memuat turun aplikasi daripada platform sah seperti Google Play Store.

“Google akan melakukan semakan berlapis-lapis dan memastikan keselamatan satu aplikasi. Adalah tidak mudah untuk meletakkan aplikasi dalam Google Play Store.

” Walaupun pernah berlaku kes aplikasi perisik dalam Play Store juga, tetapi kejadian seperti ini adalah sangat jarang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Google pun bersubhat dengan software scamer. Aku dak kena dengan haxa network untok klim haxa coin. Google awal2 lagi ambil upah 3.99 Rm. Tapi coin nya hilang entah kemana. Tak ada pun dalam wallet yang kita bagi tu. Inilah scamer berlesen haram jadah

Comments are closed.