Anggota polis bercakap dengan warga Israel ketika mereka memegang bahagian helikopter tentera selepas ia terhempas di pantai Mediterranean berhampiran Haifa - Foto Reuters

JERUSALEM – Dua juruterbang tentera Israel terbunuh dan seorang pemerhati udara cedera dalam nahas helikopter pada malam Isnin di luar pantai utara Israel, kata tentera Israel.

Helikopter maritim ‘Atalef’ itu terhempas ke Laut Mediterranean di luar pantai bandar Haifa semasa penerbangan latihan dengan pemerhati udara dan dua juruterbang di dalamnya, kata jurucakap tentera dalam satu kenyataan.

Pemerhati udara itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Rambam di Haifa.

Micky Halbertal, pengarah Hospital Rambam memberitahu pemberita bahawa pemerhati udara yang cedera itu berada dalam keadaan stabil dan dirawat kerana hipotermia.

Memetik laporan Xinhua, kedua-dua juruterbang itu ditemui selepas operasi menyelamat dan disahkan maut.

Komander Tentera Udara Israel Amikam Norkin telah mengarahkan penggantungan penerbangan latihan serta penggunaan helikopter Atalef.

Berita Kan TV milik Israel melaporkan bahawa punca nahas itu disebabkan masalah teknikal yang mengakibatkan helikopter tersebut terbakar.

Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz menyatakan di Twitter bahawa tentera udara akan membuat siasatan berkenaan insiden berkenaan. – Xinhua