KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 1.3 peratus dan 1.0 peratus pada November 2021.

Jumlah perdagangan Malaysia merekodkan prestasi menaik, meningkat 1.5 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelumnya.

Nilai eksport menyusut 1.9 peratus kepada RM112.2 bilion pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan eksport barang-barang keluaran kilang (-12.3%), bahan mentah tidak boleh dimakan (-4.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-4.3%).

Sementara itu, nilai import meningkat 5.9 peratus bulan ke bulan pada November 2021, dengan nilai RM93.3 bilion.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan import barang-barang keluaran kilang (+12.8%), bahan kimia (+12.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.8%).

Nilai perdagangan pula menyusut 28.1 peratus bulan ke bulan, dengan nilai RM18.9 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, indeks nilai seunit eksport meningkat 1.3 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.4%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+1.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%).

Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 3.2 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.1%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-4.7%) dan minyak galian (-3.5%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim bertumbuh 6.3 peratus daripada 152.6 mata kepada 162.2 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 16.8 peratus dan 13.5 peratus.

”Indeks nilai seunit import turut meningkat 1.0 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+10.3%), minyak galian (+4.5%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%).

”Indeks volum import turut meningkat 4.8 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+12.6%), bahan kimia (+12.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.4%),” katanya.

Indeks volum import pelarasan bermusim pada November 2021 berkembang 5.8 peratus daripada 159.5 mata kepada 168.7 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 8.7 peratus dan 27.1 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 107.0 mata pada November 2021.

Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.5 peratus daripada 99.6 mata pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast