KUALA LUMPUR – Penerjun senior, Cheong Jun Hoong mengucapkan selamat tinggal selepas 22 tahun berbakti kepada negara,
Ucapan itu dibuat selepas tiga hari seorang lagi penerjun, Leong Mun Yee mengumumkan persaraan.
Wanita kelahiran Ipoh itu juga menerima hakikat kontraknya tidak diperbaharui Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan selama ini, tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat sekarang.
“Saya juga berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam pelbagai cara, termasuk sokongan perubatan yang diberikan kepada saya melibatkan doktor, fisioterapi pemulihan, kaunselor psikologi dan semua kakitangan lain.
“Terima kasih semua atas sokongan, dorongan dan persahabatan sepanjang perjalanan saya dan untuk semua nasihat dan bimbingan diberikan pada setiap peringkat kerjaya saya. Saya sentiasa bersyukur. Sehubungan itu, saya dengan ini mengumumkan persaraan secara rasmi,” katanya dalam media sosial, Facebook.
Jun Hoong yang merangkul kejuaraan dunia acara 10 meter platform individu pada 2017 di Budapest mengakui, dia sentiasa percaya seseorang harus tetap merendah diri apabila berjaya dan bertahan walaupun gagal.
“Saya menerima kegagalan baru-baru ini (Sukan Olimpik) dengan tangan terbuka. Sejak menjalani pembedahan lutut kedua pada September 2018,saya hanya menumpukan pada pemulihan dan pada masa sama mengumpulkan keberanian untuk kembali ke beraksi dengan tujuan untuk melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik walaupun menghadapi pelbagai halangan.
“Saya akui amat kesal tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan walaupun saya sudah berusaha sedaya upaya,” katanya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast