Tangkap layar yang dikongsikan di Twitter.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Sepang (MPS) digesa membatalkan serta-merta semua saman yang dikeluarkan kepada kenderaan rosak yang diletakkan di bahu jalan bertentangan dengan bengkel-bengkel sementara menunggu dibaiki.

MCA Selangor berkata, MPS perlu bertindak dengan budi bicara terutama ketika negara berdepan dengan bencana alam.

Memandangkan Sepang telah diisytiharkan antara lokasi paling teruk terjejas akibat banjir monsun, fenomena luar biasa ini menyebabkan banyak kereta selain rumah ditenggelami air dan aliran lumpur, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Datuk Ng Chok Sin.

“Apakah alasan untuk diambil tindakan bagi kesalahan meletakkan kereta di situ? Adakah tempat letak kereta haram?.

“Adakah MPS juga akan mendenda semua pemilik rumah yang telah membuang semua barangan mereka yang musnah dan meninggalkannya di luar premis rumah mereka untuk diangkut lori sampah pihak berkuasa tempatan?,” soal beliau lagi.

Menurutnya, pemilik rumah dan kereta terutamanya mereka yang tidak mengambil insurans bencana sudah pun terbeban dengan perbelanjaan besar yang tidak dijangka untuk membaiki kenderaan dan membaik pulih kediaman mereka.

“Dalam keadaan ini pula, mereka dikenakan saman, sekali gus menambah tekanan mangsa banjir.

”Walaupun denda yang perlu dibayar kelihatan munasabah iaitu sebanyak RM10, tetapi adakah MPS terdesak untuk mengeluarkan saman kepada pemilik kereta yang rosak akibat banjir?,” soalnya.

Baru-baru ini tular tindakan saman oleh MPS bagi kenderaan yang diletakkan di sebuah bengkel.

Tindakan MPS itu dikecam oleh netizen kerana didakwa tidak simpati dengan mangsa-mangsa banjir. – MalaysiaGazette