Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menganggap dakwaan tersebut sebagai satu penipuan besar yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif sekali gus cuba menjatuhkan reputasinya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lantaran itu, beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya termasuk media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu yang mengaitkannya dengan perbuatan salah laku.

Bercakap dalam sidang media petang ini, Azam mendakwa terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM dengan cuba mengambil kesempatan menghakis kepercayaan masyarakat ke atas badan berkanun itu dengan menjadikan beliau sebagai sasaran dan menyerang secara bertubi-tubi.

Katanya, SPRM telah mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat serta agenda mereka.

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang media khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Menjawab pertanyaan mengapa mengambil masa untuk menjawab tuduhan berkenaan, Azam berkata: ”Saya tidak melakukan kesalahan. Dakwaan bahawa terdapat konflik kepentingan pada pihak saya adalah tidak berasas.

“Akaun saham saya digunakan oleh adik saya. Saya tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang dibeli. Saham dibeli oleh adik saya dan syarikat-syarikat tidak ada kaitan dengan (mana-mana) siasatan SPRM.

”Saya telah jelaskan kepada Panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu” jelasnya.

Tegasnya, saham-saham tersebut akhirnya telah dipindahkan kepada akaun saham miliknya sendiri.

Azam berkata, beliau sedar keadaan yang dihadapinya hari ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua KP (Ketua Pesuruhjaya) SPRM.

“Saya memberi akujanji akan melaksanakan tugas dan tanggungawab yang telah diamanahkan kepada saya dalam tempoh perkhidmatan saya sebagai KP SPRM untuk membawa SPRM kearah menjadi sebuah badan yang wibawa, professional dalam tindakan dan penuh integriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast